LKAN 2024: 'Kerugian sebabkan negara bazir hingga berbilion ringgit'

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 perlu dibahas di Parlimen oleh setiap wakil rakyat bagi memastikan wang yang dibelanjakan oleh kerajaan digunakan dengan baik.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, laporan tersebut memainkan peranan penting dalam isu ketirisan, kelemahan atau salah guna wang sekali gus menjadikan masyarakat awam sedar tentang proses pengurusan tatakelola badan badan kerajaan dalam menguruskan perihal perbelanjaan.

Menurut beliau, saban tahun teguran dan cadangan penambahbaikan dibuat oleh Ketua Audit Negara, namun masalah sama tetap timbul.

“Ini boleh mengakibatkan kesalahan yang sama dilakukan berkali-kali dan kelemahan ini tidak dijadikan iktibar oleh setiap pihak.

“Kerugian ini boleh menyebabkan negara kita mengalami pembaziran sehingga mencapai jumlah berbilion ringgit dihabiskan.

“Justeru perkara mengenai ketirisan wang dan masalah integriti serta rasuah ini perlu ditangani segera,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

LKAN 2/2024 yang antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan diaudit berjumlah RM41.97 bilion, dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ia melibatkan pengauditan mengenai aktiviti kementerian atau jabatan Kerajaan Persekutuan serta badan-badan berkanun Persekutuan dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Artikel Berkaitan:

Beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi mahupun prosedur kerja disebut dalam laporan berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Lam Thye, masalah yang didedahkan dalam laporan tersebut perlu diambil pendekatan yang tepat dan tidak lagi berulang pada tahun hadapan.

“Untuk itu, iltizam politik perlu wujud bagi membolehkan tiada lagi ketirisan yang tidak perlu berlaku dalam tatakelola tadbir urus kerajaan.

“Setiap kementerian, jabatan atau agensi kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap aspek tatakelola dan kebertanggungjawaban terhadap LKAN 2024 ini.

“Laporan yang dibentang setiap tahun ini merupakan satu laporan yang penting kerana ia dapat mendedahkan secara terbuka mengenai pelbagai kelemahan mahupun ketirisan berkenaan pengurusan kewangan di pelbagai agensi kerajaan,” ulas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!