RM1.57 juta nilai transaksi tunai di PMR 2024 di Zon Timur
KUANTAN - Sebanyak RM1.57 juta jumlah nilai transaksi jualan secara tunai dan padanan perniagaan yang dikutip pada program Madani Rakyat (PMR) 2024 Siri Ketiga di Zon Timur yang diadakan di Dataran Sayangi Kuantan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, data itu direkodkan sejak hari pertama program itu diadakan sehingga jam 12 tengah hari pada Ahad.
Menurutnya, jumlah pengunjung juga direkodkan melebihi program yang diadakan di zon Utara dan Tengah pada sebelum ini.
"Seramai 336,000 pengunjung yang direkodkan hadir sepanjang tiga hari penganjurannya bermula Jumaat lalu.
"Jumlah ini meningkat jika, dibandingkan dengan siri pertama PMR Zon Tengah di Kuala Selangor pada Februari lalu seramai 151,638 manakala lebih 289,228 pengunjung hadir pada siri kedua PMR Zon Utara di Pulau Pinang pada bulan Mei, " katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, program ini memberi persepsi positif apabila rakyat di Pantai Timur menjadikan program ini sebagai platform untuk memahami, menilai dan melihat inisiatif serta dasar baharu Kerajaan Madani dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selaku kementerian peneraju bagi siri PMR kali ini mengetengahkan elemen pembangunan usahawan desa dan padanan perniagaan sebagai platform.
"Ia juga memberi peluang bagi usahawan memasar, menjual dan memperkenalkan mereka kepada warga Zon Timur," katanya.
PMR Zon Timur yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KKDW dan Kerajaan Pahang.
Program ini berkonsepkan turun padang ini menjadi wadah Kerajaan untuk bertemu rakyat sebagai saluran komunikasi berterusan bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.
Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha membina negara yang lebih progresif selaras agenda Malaysia Madani.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!