Mindef kaji semula SOP tugasan anggota tentera - Adly
MACHANG - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) anggota tentera semasa melaksanakan penugasan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, hal ini kerana kemalangan antara perkara yang cuba dielakkan namun dalam masa sama Mindef akan memperbaiki aspek keselamatan melibatkan anggota.
"Kita tahu dalam operasi atau latihan akan berlaku kemalangan. Memang kemalangan itu tidak berbau, namun pada masa sama persediaan perlu dilakukan.
"Memang anggota pasukan pertahanan telah diberikan latihan terutama berkait dengan ikhtiar hidup. Bagaimanapun kita akan membuat penilaian dan perbaiki kelemahan yang ada," katanya kepada pemberita semasa menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Program Veteran Desa Madani di Kampung Padang, Temangan di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, pada masa sama aspek komunikasi akan turut diberikan perhatian bagi memastikan kes anggota tentera yang hilang semasa melaksanakan tugas di sempadan Malaysia-Brunei dekat Limbang, Sarawak pada 18 Jun lalu tidak berulang semula.
Dalam perkembangan sama, Adly meluahkan rasa syukur apabila anggota yang hilang itu ditemukan selamat.
Katanya, beliau akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat bagi memastikan anggota terbabit berada dalam keadaan baik.
"Saya harap anggota tersebut dapat pulih secepat mungkin. Ketika ini kita sedang mendapatkan maklumat daripada anggota terbabit dalam melengkapkan laporan," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seorang anggota tentera daripada pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di sini pada 18 Jun lepas, ditemukan selamat.
Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu itu ditemukan oleh kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.29 pagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!