PKPIM cadang 4 kaedah bendung kes HIV dalam kalangan pelajar IPT

Pihak IPT perlu memastikan perkhidmatan kaunseling yang beretika dan sesuai dengan nilai-nilai Islam adalah penting bagi menyokong pelajar terlibat dalam kes HIV. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Muhammad Haakem
Pihak IPT perlu memastikan perkhidmatan kaunseling yang beretika dan sesuai dengan nilai-nilai Islam adalah penting bagi menyokong pelajar terlibat dalam kes HIV. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Muhammad Haakem
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengemukakan empat kaedah untuk membendung kes HIV dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) antaranya memperkasa pendidikan seksualiti berlandaskan nilai Islam dan pengukuhan program kesedaran.

Naib Presidennya, Muhammad Haakem Azman berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendedahkan kes berkenaan melibatkan mahasiswa yang berusia 18 hingga 25 tahun di seluruh negara dengan 244 kes dilaporkan tahun lalu.

“PKPIM menghargai usaha KPT dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memantau serta menangani isu ini melalui pelbagai program advokasi, kesedaran dan pencegahan.

“Namun, usaha yang lebih komprehensif dan bersepadu diperlukan bagi menangani masalah tersebut dengan lebih efektif. PKPIM mencadangkan beberapa langkah tindakan dalam membasmi isu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Muhammad Hakeem menjelaskan, pendidikan seksualiti berlandaskan nilai Islam perlu ditambah baik dengan menerapkan nilai-nilai Islam sebagai panduan kepada mahasiswa untuk menghindari daripada terjebak dengan perkara tidak sepatutnya.

Tambahnya, pengukuhan program kesedaran dan pencegahan HIV perlu diperluas serta diperkukuhkan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan pihak berkuasa kesihatan.

“PKPIM juga menyarankan agar program ini melibatkan pembicara dan pakar daripada komuniti Islam yang mampu memberikan perspektif sesuai dengan budaya serta agama khususnya negara.

“Selain itu, pelajar boleh mengambil inisiatif sendiri dengan melibatkan diri dalam program advokasi dan kesedaran HIV. Penglibatan secara langsung akan meningkatkan kefahaman terhadap risiko serta langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak daripada perkara memudaratkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak IPT perlu memastikan perkhidmatan kaunseling yang beretika dan sesuai dengan nilai-nilai Islam adalah penting bagi menyokong pelajar terlibat.

Katanya, pusat kaunseling di institusi wajib untuk mempunyai kaunselor yang terlatih dalam menangani isu-isu berkaitan HIV dan penyakit-penyakit berkaitan.

“PKPIM bertekad untuk terus berperanan aktif dalam membantu menggerakkan agenda advokasi, kesedaran dan sokongan kepada pelajar IPT bagi memastikan kesejahteraan fizikal, mental, dan spiritual mereka terjaga.

“Kami juga komited untuk bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan dalam usaha menangani isu ini secara holistik dan berkesan,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!