PRK Sungai Bakap: Kerajaan perlu baiki jentera penerangan
MACHANG - Kerajaan perlu segera memperbaiki sistem penerangan dalam usaha melawan naratif dibawa pihak pembangkang semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang menyaksikan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) tumbang di tangan Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, usaha itu perlu dilakukan segera kerana selepas ini kerajaan akan berdepan dengan satu lagi PRK di Nenggiri, Gua Musang.
"Sebagai contoh isu Blackrock dan penyasaran subsidi diesel kita memerlukan jangka masa panjang untuk memberikan penerangan.
"Kita yakin dasar-dasar yang dibuat kerajaan adalah untuk memberikan kesan jangka panjang kepada rakyat. Namun kita berdepan dengan sentimen-sentimen yang dimainkan dan akan cuba perbaikinya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Program Veteran Desa Madani di Kampung Padang, Temangan dekat sini pada Ahad.
Menurut beliau, seluruh kementerian perlu memainkan peranan dengan menggerakkan penerangan kepada rakyat mengenai usaha-usaha yang dilakukan kerajaan.
Ujarnya, kerajaan perlu memberikan perhatian kepada isu sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat dan berusaha untuk mengatasinya.
Adly memberitahu, 'post-mortem' melibatkan kekalahan itu perlu dilakukan dengan kadar segera untuk mengenal pasti punca kekalahan.
Katanya, selain itu beliau melihat kerjasama BN-PH perlu terus diperkukuhkan dalam menghadapi pilihan raya selepas ini.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.
Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon PH, Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!