Mindef perkenal VDM kukuhkan hubungan veteran ATM, masyarakat

Adly (tengah) bertanyakan khabar pada Hassan semasa menyantuni veteran ATM pada Program Veteran Desa Madani di Kampung Chekok, Temangan, Machang pada Ahad.
Adly (tengah) bertanyakan khabar pada Hassan semasa menyantuni veteran ATM pada Program Veteran Desa Madani di Kampung Chekok, Temangan, Machang pada Ahad.
A
A
A

MACHANG - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertahanan (Mindef) melaksanakan satu program baharu iaitu Program Veteran Desa Madani (VDM) untuk memperkukuhkan hubungan bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga termasuk masyarakat setempat.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, ia merupakan salah satu inisiatif terkini diperkenal Mindef menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) yang telah dilaksanakan sejak Mac 2023 lalu sehingga kini.

"Kita perkenalkan lima teras melalui PVM iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan melibatkan keluarga veteran ATM yang tergolong dalam asnaf dan di bawah kategori B40 yang memerlukan bantuan.

"Selain itu, ia turut berfungsi sebagai platform kolaborasi antara kementerian dan kerajaan negeri dalam usaha untuk menyampaikan bantuan kebajikan kepada veteran ATM terpilih secara khusus serta masyarakat setempat secara amnya," katanya kepada pemberita semasa menyantuni veteran ATM pada Program Veteran Desa Madani di Kampung Chekok, Temangan di sini pada Ahad.

Dalam kunjungan tersebut Adly sempat meninjau keadan rumah Hassan Ahmad, 63, yang uzur apabila pernah tenggelam semasa banjir besar pada 2014 serta terdedah dengan air paras 0.5 meter setiap kali musim tengkujuh kerana kedudukannya berhampiran Sungai Kelantan.

Menurut beliau, Mindef sentiasa berpegang kepada konsep ‘Responsif, Prihatin dan Komited’ dalam menjaga kesejahteraan serta kebajikan veteran ATM.

Ujarnya, ia menjadi salah satu teras utama dalam Pelan Strategik Kementerian Pertahanan.

Adly memberitahu, selaras dengan pembangunan dasar Malaysia Madani kementerian akan terus berusaha mengenalpasti sebarang peluang yang boleh memanfaatkan veteran dan tanggungan dalam usaha memperkasakan agenda kebajikan.

Artikel Berkaitan:

"Permulaan, kami menyasarkan enam buah keluarga dan kampung veteran ATM yang telah dikenal pasti oleh Mindef dengan kerjasama Kerajaan Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

"Selain menyampaikan bantuan seperti barangan keperluan, VDM juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti serta memudahcara proses permohonan sumbangan yang diperlukan oleh veteran dan keluarga berdasarkan skim-skim kebajikan JHEV serta fasiliti keusahawanan yang berkaitan," katanya.

Menurut Adly, setakat ini terdapat 231,000 veteran ATM di seluruh negara dan 19,000 daripadanya adalah berada di Kelantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!