Kekalahan di Sungai Bakap bukan penamat hadapi PRK seterusnya - Ahmad Zahid
MELAKA - Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang semalam bukanlah penamat kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO untuk menghadapi PRK seterusnya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti-parti komponen berkenaan akan terus berusaha dan berazam membawa kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK akan datang.
"Kita terima (kekalahan), itu keputusan rakyat... ini bukan penghujung, jalan terakhir PRK bagi mana-mana calon dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di Dewan Komuniti Telok Mas di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan ahli UMNO agar melakukan perubahan dalam memenangi hati pengundi.
"Kita harus ingat politik sekarang bukan politik pembangunan (semata-mata, malah) politik sekarang ialah politik isu dan sentimen (yang mesti kita juarai).
"Berapa orang dalam kalangan kita yang (berani) jawab dan pertahankan ketua kita bila dihentam? Kita hanya pandai tularkan (sesuatu isu) dengan kawan-kawan. Dalam situasi ini, kita harus bangkit dan sedar dari sekarang,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!