13 cedera diserang gajah naik minyak
COLOMBO - Seramai 13 orang cedera selepas seekor gajah naik minyak dalam satu acara perayaan agama Hindu di Kataragama, Sri Lanka.
Rakaman video dikongsi di media sosial menunjukkan salah seorang penjaga gajah cuba menarik ekor haiwan itu yang 'gelisah' manakala orang ramai dilihat melarikan diri.
Video itu menunjukkan semua gajah tersebut dilitupi kain berwarna merah, biru dan emas sehingga bahagian ekor dan berarak sambil diiringi pukulan alat muzik simbal.
Menurut jurucakap polis, seramai 13 orang dibawa ke hospital dan mendapat rawatan lanjut akibat cedera ringan.
Jurucakap hospital Kataragama yang dikendalikan kerajaan berkata, pada hari Ahad, sehari selepas kejadian semua mangsa cedera telah dibenarkan pulang.
Gajah dianggap suci di Sri Lanka, tetapi undang-undang kekejaman haiwan jarang dikuatkuasakan di negara tersebut.
Kumpulan hak asasi haiwan telah mengkritik penggunaan gajah secara meluas dalam upacara kuil di Sri Lanka.
Pada Ogos 2023, puluhan penganut Hindu terpaksa terjun ke sebuah tasik di pusat bandar Kandy selepas melarikan diri dari lima ekor gajah yang mengamuk.
Pada 2019, sekurang-kurangnya 17 orang cedera apabila gajah mengamuk di festival kuil di Colombo. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!