RUU Mufti perlu disokong ahli Parlimen beragama Islam - RAM

Tangkap layar kenyataan RAM pada Ahad.
Tangkap layar kenyataan RAM pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia (RAM) meminta ahli Parlimen yang beragama Islam supaya menyokong penuh pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 semasa bacaan kedua minggu hadapan di Dewan Rakyat.

RUU Mufti sebelum ini dibentangkan buat kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pengerusi RAM, Datuk Syed Hood Syed Edros al-Aydrus berkata, pihaknya bersetuju dengan pelaksanaan itu dan berharap agar ia diluluskan di Parlimen tanpa sebarang pindaan.

Hal ini kerana menurutnya, Seksyen 3(2) (a)(b) dan (c) serta Seksyen 3(4)(a)(b) dan (c) amat relevan dalam usaha menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Seksyen 3(2) menyatakan bahawa seorang itu layak menjadi mufti atau timbalan mufti sekiranya warganegara Malaysia, ahli Sunnah Wal Jamaah dan mempunyai kepakaran dalam hukum syarak.

“Seksyen 3(4) pula menerangkan keseluruhan Seksyen 3 bahawa ahli Sunnah Wal Jamaah ertinya orang yang berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah, akidah bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.

“Syariah mengikut Mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu ikut mana-mana Mazhab Hanafi, Maliki mahupun Hambali dan ijtihad hukum yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa. Tasawuf pula berpegang dengan Iman Junaid al-Baghdadi serta Imam al-Ghazali,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

RUU Mufti turut memperincikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ia menekankan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong selain hukum syarak iaitu tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Syed Hood berpandangan, Seksyen 16 berkaitan panduan mengeluarkan fatwa dinyatakan melalui Seksyen 16(1)(a), (b) dan (c) serta seksyen 16(2), (3) dan (4) memberi ruang yang cukup luas kepada Jawatankuasa Fatwa untuk mengeluarkan fatwa demi mengutamakan kepentingan awam tanpa terikat dengan empat mazhab.

“Justeru, kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menjalankan usaha dakwah yang baik, teratur dan terancang serta menepati kehendak undang-undang pada bila-bila masa,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!