Mansor Puteh derma darah 631 kali sepanjang hayat
SHAH ALAM - Pusat Darah Negara mengucapkan takziah kepada keluarga pengarah dan pengkritik filem, Mansor Puteh yang meninggal dunia akibat kemalangan kereta di Alam Damai, Cheras, pada pagi Ahad.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook, Allahyarham Mansor merupakan bekas penderma kerana telah menderma darah sebanyak 631 kali sepanjang hayat.
“Al-Fatihah. Pusat Darah Negara mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Mansor yang telah kembali ke rahmatullah.
“Allahyarham merupakan bekas penderma darah dan telah menderma darah sebanyak 631 kali sepanjang hayatnya.
“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.
Mansor meninggal dunia pada usia 71 tahun dan difahamkan jenazah sudah dibedah siasat serta dibawa pulang ke Melaka untuk dikebumikan.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial terharu dan kagum dengan kebaikan yang pernah dilakukan arwah semasa hidup.
“Subhanallah besar sumbangan arwah. Moga ALLAH SWT tempatkan arwah dalam kalangan orang beriman. Aaminn,” ujar Noor Hazwani.
“Salam takziah, banyaknya arwah derma darah dan ramai yang dah dibantu. Hebatnya, semoga pahala berterusan serta amal jariah diterima ALLAH SWT,” kata Hannah Suffiya Mohammed pula.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!