Keir Starmer PM baharu Britain

Starmer dan isterinya, Victoria melambai tangan di Downing Street, London selepas dilantik menjadi PM Britain baharu. - AFP
Starmer dan isterinya, Victoria melambai tangan di Downing Street, London selepas dilantik menjadi PM Britain baharu. - AFP
A
A
A

LONDON - Pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer yang dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Britain selepas menewaskan lawannya, Rishi Sunak daripada Parti Konservatif pada pilihan raya umum United Kingdom (UK) merupakan bekas bekas peguam hak asasi manusia dan pendakwa raya.

Pada usia 61 tahun Starmer dianggap individu tertua yang mengambil peranan sebagai PM Britain dalam hampir tempoh setengah abad.

Bapa kepada dua anak itu seperti kebanyakan ahli politik moden lain turut mempunyai kerjaya profesional sebelum menjadi ahli Parlimen dan pandangannya berakar pada pragmatisme, bukannya ideologi.

“Kita mesti mengembalikan politik kepada perkhidmatan,” kata Starmer yang berulang kali diucapkan semasa berkempen dan berjanji negara didahulukan, manakala parti di tempat kedua.

Slogan tersebut menyebabkan penyokongnya memuji sebagai ‘sepasang tangan’ yang akan mendekati kehidupan Downing Street dengan cara sama semasa beliau menjalankan tugasnya sebagai pelaksanaan undang-undang.

Bagaimanapun, pengkritik melabelkan beliau sebagai seorang oportunis yang tidak memberi inspirasi dan sering menukar pendirian.

Mereka juga mengatakan Starmer tidak menyatakan visi secara jelas dan menentukan hala tuju negara.

Artikel Berkaitan:

Starmer mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat pertama Kabinet di Downing Street di London. - AFP
Starmer mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat pertama Kabinet di Downing Street di London. - AFP

Peminat bola sepak

Selain seorang peguam disegani, Starmer juga merupakan peminat bola sepak tegar dan menyokong kelab Arsenal.

Malah, baru-baru ini beliau mendapat perhatian umum apabila dilihat berpakaian santai berbanding mengenakan baju kot berbutang.

Namun, segelintir penyokong mengakui bahawa beliau kurang berkarisma berbanding bekas Perdana Menteri, Boris Johnson tetapi dilihat sebagai seorang kelakar, berpegang kepada janji dan setia kepada rakan-rakan seperjuangannya.

Pernah sebelum ini, sosok yang dilihat sering memakai cermin mata bingkai kelabu itu berjanji untuk pulang daripada kerja sebelum jam 6 petang pada setiap Jumaat dan meluangkan masa dengan isterinya, Victoria yang bekerja sebagai ahli terapi di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) serta dua anaknya yang nama mereka dirahsiakan.

“Ada sesuatu yang luar biasa dalam dirinya yang masih agak normal,” tulis penulis biografi Starmer, Tom Baldwin dalam akhbar Guardian.

Peguam tersohor

Starmer atau nama sebenarnya, Keir Rodney Starmer yang dilahirkan pada 2 September 1962 telah dibesarkan di sebuah rumah berkembar sempit di pinggir London oleh ibunya yang sakit tenat dan bapanya mengalami sakit mental.

Beliau yang mempunyai tiga adik beradik dan salah seorang daripadanya mempunyai masalah pembelajaran.

Starmer juga dikatakan seorang pemuzik berbakat dan pernah belajar bermain biola di sekolah dengan Norman Cook, bekas pemain bass Housemartins yang menjadi DJ Fatboy Slim.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Leed dan Oxford, Starmer menumpukan perhatiannya kepada politik berhaluan kiri dengan mempertahankan kesatuan sekerja, aktivis anti-McDonald dan banduan dijatuhkan hukuman mati di luar negara.

Beliau juga berkawan rapat dengan peguam hak asasi manusia, Amal Clooney juga isteri kepada pelakon George Clooney yang seangkatan bersama.

Pada 2003, Starmer mula menceburi bidang politik secara serius sehingga mengejutkan rakan sejawatannya dengan tugas memastikan polis di Ireland Utara mematuhi undang-undang hak asasi manusia.

Lima tahun kemudian, beliau dilantik sebagai pengarah pendakwaan awam (DPP) untuk England dan Wales ketika Gordon Brown daripada Parti Buruh menjadi Perdana Menteri Britain.

Antara 2008 dan 2013, beliau menyelia pendakwaan ahli Parlimen kerana menyalahgunakan dana mereka.

Selepas itu, Starmer dinobatkan sebagai kesatria oleh Ratu Elizabeth II tetapi jarang menggunakan panggilan Sir dan pada tahun 2015, beliau dipilih menjadi ahli Parlimen berhaluan kiri yang mewakili kerusi di utara London.

Starmer menyampaikan ucapan semasa kempen di Glasgow menjelang pilihan raya umum UK. - AFP
Starmer menyampaikan ucapan semasa kempen di Glasgow menjelang pilihan raya umum UK. - AFP

Sokongan penduduk Islam

Parti Buruh telah menyaksikan penurunan mendadak dalam sokongan daripada penduduk Islam terutama pendiriannya yang pro-Israel.

Semasa pilihan raya tempatan bulan lalu, 58 wad majlis tempatan yang dianalisis BBC, dengan lebih satu perlima penduduknya beragama Islam mendapati sokongan terhadap parti itu menurun 21 peratus berbanding pilihan raya tahun 2021.

Sejak Israel melancarkan perang di Gaza pada 7 Oktober lalu, hampir 70 peratus ahli Parlimen daripada Parti Buruh telah mengingkari dasar parti dan menggesa gencatan senjata, manakala 100 ahli keluar parti. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!