Rakyat Malaysia dinasihat elak berkunjung ke China

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai wabak 2019 novel koronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) hari ini.-fotoBERNAMA
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai wabak 2019 novel koronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) hari ini.-fotoBERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguh perjalanan ke China berikutan wabak koronavirus kecuali atas urusan penting yang tidak boleh dielakkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam sidang media mengenai kes positif koronavirus di Malaysia melibatkan tiga warga China, Dr Dzulkefly menasihati orang ramai mengamalkan langkah pencegahan khususnya kepada pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia.

“Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit, alami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mereka yang berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan juga perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat.

“Semasa dalam tempoh lawatan (ke China) sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menasihati orang ramai supaya mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang mempunyai gejala semasa dalam tempoh lawatan.

“Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan,” katanya.

Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna, katanya.- BERNAMA

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!