Nak marah cikgu pun janganlah depan anak-anak

Guru seolah-olah dipandang sebagai pekerja bawahan yang boleh disuruh-suruh menjaga budak-budak di sekolah. Gambar hiasan
Guru seolah-olah dipandang sebagai pekerja bawahan yang boleh disuruh-suruh menjaga budak-budak di sekolah. Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan tidak mahu menuduh, cuma kelihatan sekarang ini rasa hormat segelintir ibu bapa terhadap para guru sudah semakin menipis.

Guru seolah-olah dipandang sebagai pekerja bawahan yang boleh disuruh-suruh menjaga budak-budak di sekolah.

Lain betul berbanding dahulu. Merak Jalanan masih ingat ketika era 1980-an atau 1990-an, sesiapa sahaja yang memegang gelaran cikgu, orang itu akan dipandang tinggi kerana ilmu yang dimilikinya.

Setiap ibu bapa berharap agar anak-anak mereka dapat belajar dengan cikgu supaya ilmu yang ada pada cikgu itu dapat mengalir kepada anak-anaknya pula.

Tidak hairanlah dahulu ada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka dirotan jika degil atau malas belajar.

“Apa cikgu nak buat dengan anak saya, buatlah...asalkan jangan sampai mati, jangan sampai berdarah sudahlah ya cikgu.” Itu antara kalimat abah-abah kita dahulu. Beranikah kita nak mengadu dengan abah? Jangan harap.

Paling tidak pun cakap dengan emak sahaja. Emak pula ada dua jenis. Ada yang nasihatkan baik-baik dan satu jenis lagi, nasihatkan sambil tambah lagi sedas dua guna apa yang ada di tangan.

Berbeza dengan ibu bapa masa ini. Cikgu marah pelajar yang tak buat kerja sekolah, tak bawa buku latihan, rambut panjang, baju tak masuk dalam, datang lewat. Tapi lepas itu, cikgu pula kena marah dengan ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

Walhal cikgu tersebut sedang mengajar anak-anak mereka cara mendisiplinkan diri.

Malah, ada sampai memarahi guru di hadapan murid-murid lain. Cara itu pada Merak Jalanan sangatlah biadab.

Perbuatan seperti itu hanya akan membuatkan murid lebih jadi kurang ajar dan tidak akan ada rasa hormat pada guru.

Jika nak marah sangat cikgu itu, bawalah berbincang di bilik guru besar atau pengetua. Lepaskan amarah sepuas-puasnya di dalam bilik guru dan apabila keluar dari bilik itu nanti, bermaaf-maafanlah semula. Itu lebih mulia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!