Sedar atau tidak, kita masih hidup dengan 'pembunuh'

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JUMAAT lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan memaklumkan, individu positif Covid-19 tidak lagi dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) atau kuarantin di rumah.

Malah, mereka juga tidak perlu melaporkan status positif ujian kendiri dalam aplikasi MySejahtera berkuat kuasa 15 Julai ini.

Tambah kenyataan itu, individu positif Covid-19 akan dirawat sama seperti jangkitan saluran pernafasan yang lain, namun masih digalakkan memakai pelitup muka, kekal di rumah, elak interaksi sosial dan mengelakkan diri daripada berada di tempat yang sesak.

Pasti ada yang tersentak dengan pengumuman tersebut kerana rasa takut terhadap virus itu masih ada.

Kebimbangan itu sebenarnya menunjukkan kita masih peka dengan penyakit tersebut yang kekal aktif dan boleh membawa maut, bukan sahaja kepada kita tetapi juga terhadap orang-orang yang kita sayang.

Justeru, sikap berjaga-jaga itu perlu sentiasa ada dalam diri setiap individu di mana juga berada.

Apatah lagi pada hari ini, kita semua terpaksa akur bahawa virus yang muncul pada tahun 2020 telah mengorbankan banyak nyawa, siapa sangka kini hidup bersama-sama manusia.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah pemeriksaan kendiri, jujur dengan orang sekeliling, jangan pentingkan diri dan teruskan dengan slogan ‘Kita Jaga Kita’.

Artikel Berkaitan:

Jika timbul rasa ragu-ragu, segera asingkan diri dan terus rujuk kepada doktor. Ini adalah untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain.

Menurut KKM, individu yang positif akan diberikan sijil cuti sakit dan rujukan ke hospital sekiranya perlu, berdasarkan penilaian pegawai perubatan yang merawat. Jadi jangan berahsia dan maklumkan kepada doktor simptom-simptom yang dihadapi.

Kalau dulu takut nak beritahu doktor kerana takut kena kuarantin, sekarang tidak perlu risau lagi. Teruslah ke pusat perubatan berhampiran.

Pesanan ini mungkin kedengaran klise seperti sebelum ini, tapi ingatlah bahawa virus ini masih kejam seperti dahulu.

Individu yang positif masih berpotensi menyebarkan jangkitan Covid-19 tanpa mengira siapa pun di samping anda ketika itu.

Tugas kita sangat berat, tetapi sebenarnya kita juga mampu menyelamatkan ramai nyawa orang lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!