100,000 banjiri ‘Malam Ehsan Untuk Insan’ walaupun hujan lebat

Pengunjung tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing meskipun program berlangsung dalam keadaan hujan lebat. Foto Selangorkini
Pengunjung tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing meskipun program berlangsung dalam keadaan hujan lebat. Foto Selangorkini
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 100,000 umat Islam membanjiri ‘Malam Ehsan Untuk Insan’ sempena sambutan Maal Hijrah 1446H meskipun berlangsung dalam keadaan hujan lebat.

Program anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor itu disambut meriah dengan alunan nasyid, qasidah, selawat dan syarahan khas oleh penceramah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr Sany Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya tidak menyangka dengan sambutan pengunjung yang kekal tidak berganjak dalam keadaan hujan kerana mahu bersolidariti beramai-ramai buat rakyat di Gaza, Palestin.

Menurut beliau, disebabkan berlaku kejadian di luar dugaan, Mapim terpaksa mengambil keputusan untuk menamatkan program berkenaan lebih awal daripada jangkaan kerana memikirkan keselamatan orang awam.

“Alhamdulillah luar biasa sambutan Maal Hijrah tahun ini walaupun banyak kejadian tak disangka-sangka, 100,000 pengunjung banjiri dataran hanya untuk menyatakan solidariti buat Palestin dalam ‘Malam Ehsan Untuk Insan’ bertemakan Gaza Bangkit.

“Sasaran awal hanya 60,000 tetapi memang terkejut apabila mencecah ratusan ribu pengunjung. Ada yang datang dari Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei ‘berkampung’ di sini semata-mata ingin ‘recharge’ diri.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih buat Kerajaan Negeri Selangor khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kerana menjadi rakan kerjasama dan menaungi program,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sambutan berkenaan turut diserikan dengan persembahan artis ternama seperti Mawi, Rabbani dan alunan selawat daripada kumpulan Angham Anisah.

Artikel Berkaitan:

Sany Araby memaklumkan, Mapim diberi peluang mengemudi program berkenaan selepas mendapat pelawaan daripada Kerajaan Negeri Selangor berikutan kebetulan Ustaz Abdul Somad ke Malaysia dan jadualnya begitu padat.

Tambah beliau, pihaknya mempunyai empat hingga lima hari sahaja untuk menyiapkan segala persiapan menjelang program terbabit.

“Bermula daripada negeri Darul Ehsan ini, kami mahu pengunjung amalkan sikap sukakan keamanan, berbuat kebaikan dan sama-sama mencari titik pertemuan bagaimana nak membantu Gaza secara kolektif.

“Bagaimanapun, syukur ketika penutup sempat dibacakan doa tahun baharu secara beramai-ramai dipimpin Ustaz Abdul Somad sebelum pengunjung diminta pulang awal.

“Kami rasa sangat berpuas hati kerana menteri besar, pimpinan kerajaan, para asatizah dan murabbi juga ada dalam majlis penuh berkat ini.

“Ini adalah usaha bersama dan saya harap pada masa akan datang, jangan lupa untuk sentiasa anjur program begini kerana ia menzahirkan rasa kecintaan sesama insan,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!