Pegawai kanan Hamas terkorban dalam serangan Israel

Ehad Al-Ghussein antara empat orang terkorban dalam serangan udara tentera Israel ke atas sebuah sekolah di Bandar Gaza. Foto X/Nour Naim
Ehad Al-Ghussein antara empat orang terkorban dalam serangan udara tentera Israel ke atas sebuah sekolah di Bandar Gaza. Foto X/Nour Naim
A
A
A

GAZA - Seorang pegawai kanan pentadbiran Hamas antara empat orang terkorban dalam serangan udara tentera Israel ke atas sebuah sekolah di Bandar Gaza.

Ehad Al-Ghussein dilantik Hamas untuk mentadbir kawasan Bandar Gaza dan bahagian utara bandar berkenaan tiga bulan lalu, kata Hamas kepada portal berita BBC.

Tentera Israel berkata, telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk meminumkan risiko kepada orang awam sebelum menyasarkan pejuang Hamas yang didakwa menggunakan bangunan sekolah itu sebagai "tempat persembunyian untuk merancang dan melakukan serangan" terhadap tentera.

Saksi kejadian berkata, serangan ke atas Sekolah Holy Family bersebelahan dengan Gereja Holy Family itu mengorbankan bilangan besar pelarian Palestin yang berlindung di bangunan itu.

Serangan udara itu menyasarkan dua bilik darjah yang terletak di tingkat bawah bangunan itu.

Sementara itu tentera Israel mengeluarkan satu lagi arahan berpindah untuk penduduk di kawasan tengah Bandar Gaza.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu turut menegaskan sebarang perjanjian untuk gencatan senjata hanya akan dicapai apabila objektif ketenteraan telah tercapai.

Beliau menjelaskan ini termasuk menghapuskan pejuang Hamas dan pemulangan kesemua tebusan.

Hamas pula berkata, mereka sedang menunggu keputusan Israel mengenai cadangan perjanjian gencatan senjata terbaharu yang dikemukakan.

Artikel Berkaitan:

Perang Israel ke atas Hamas tercetus berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu yang mengorbankan 1,200 orang selain 251 yang lain dijadikan tebusan di Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak itu sekurang-kurangnya 38,153 rakyat Palestin terkorban akibat serangan balas Israel.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!