Yayasan Pahang eksport nanas ke pasaran UAE

Mahmud menyempurnakan majlis pelepasan kontena hasil pengeluaran nanas YPPH di Ladang Gambang Jumaat lalu. - Foto: FB Yayasan Pahang
Mahmud menyempurnakan majlis pelepasan kontena hasil pengeluaran nanas YPPH di Ladang Gambang Jumaat lalu. - Foto: FB Yayasan Pahang
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Pahang (YP) mengeksport 18 tan nanas MD2 hasil keluaran anak syarikatnya, Yayasan Pahang Plantation Holdings Sdn Bhd (YPPH) ke pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pengarah Urusan YPPH, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, ia adalah eksport pertama nanas hasil keluaran anak syarikat YP ke luar negara.

Menurutnya, pembangunan untuk projek tanaman nanas itu telah dimulakan pada November 2022 dan proses penanamannya bermula Februari tahun lalu.

"Projek ini merupakan percubaan pertama anak syarikat YP menanam pokok nanas MD2 secara komersil dalam kawasan pokok kelapa di Ladang Gambang di sini.

"Kami jangkakan seluas 314 hektar tanah akan digunakan untuk pelan pembangunan tanaman nanas ini sehingga 2026," katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelepasan kontena hasil pengeluaran nanas Ladang Gambang itu diadakan Jumaat lalu.

Mahmud yang juga Ketua Pegawai Eksekutif YP berkata, pihaknya merancang akan membekalkan sulur sendiri untuk penanaman di ladang selain dibekalkan untuk jualan.

"Tanaman nanas antara usaha YP dalam mempelbagaikan sumber pendapatan melalui kepelbagaian tanaman dengan pendapatan per hektar yang tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, projek tanaman nanas itu merupakan inisiatif di bawah program pembangunan ke arah Pensijilan Global GAP daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membolehkan hasil dipasarkan ke luar negara.

"Proses pensijilan itu kini berada di fasa terakhir, menunggu pengauditan pihak luar.

"Kami juga merancang untuk mendapatkan Sijil Brand Reputation Compliance Global Standard (BRCGS) dan Rainforest Alliance Certification sekali gus membolehkan hasil nanas dieksport ke negara-negara Eropah pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, YPPH telah memperoleh Sijil Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) daripada Jabatan Pertanian bagi pengesahan ketulenan benih MD2.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!