AMK selar tindakan kaitkan kekalahan PRK Sungai Bakap dengan penyasaran subsidi
SHAH ALAM - Wakil rakyat Kerajaan Perpaduan perlu cekal dan istiqamah dalam mendukung usaha penyasaran subsidi bersasar, bukannya terikut-ikut dengan dakyah pembangkang yang anti terhadap reformasi fiskal.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, usaha yang dibuat kerajaan ketika ini demi kepentingan negara dan rakyat pada masa akan datang.
"Beberapa reaksi sinis wakil rakyat kerajaan mengaitkan usaha penyasaran subsidi dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ternyata tidak produktif dan menambah beban terhadap moral Kerajaan Perpaduan untuk terus melaksanakan reformasi.
"Sudah pasti tiada mana-mana pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berani melakukan penyasaran fiskal sebagai salah satu langkah mereformasi fiskal kerana kompleksiti menguruskan reaksi orang awam.
"Walau bagaimanapun, hanya dengan mereformasi fiskal, pengagihan kekayaan lebih adil dapat dibuat, keyakinan terhadap pelabur ditingkatkan seterusnya menambah peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan meningkatkan permintaan seterusnya memulihkan prestasi ringgit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Perikatan Nasional (PN) Sabtu lalu mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Susulan keputusan yang tidak berpihak kepada calon Kerajaan Perpaduan itu, segelintir pemimpin dalam kerajaan mengaitkan kekalahan tersebut dengan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol.
Sementara itu, Haziq Azfar pada masa sama turut mengingatkan wakil rakyat kerajaan supaya tidak menyerang mana-mana pimpinan Kerajaan Perpaduan yang melakukan perkara betul demi kepentingan rakyat kebanyakan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!