Formulasi makanan ternakan UniSZA beri manfaat

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu melawat ladang ternakan lembu HL Agro Farm, baru-baru ini.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu melawat ladang ternakan lembu HL Agro Farm, baru-baru ini.
A
A
A

BESUT - Produk formula makanan ternakan hasil penyelidikan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut berjaya memberi manfaat kepada haiwan dan penternak termasuklah meningkatkan produktiviti ternakan.

Kumpulan penyelidik yang diketuai Dr Noor Syaheera Ibrahim mula menghasilkan formula makanan ternakan sejak tahun 2021 menerusi kajian penyelidikan di makmal dan ujian lapangan yang dijalankan di unit pemprosesan makanan dan ruminan besar di HL Agro Farm Sdn Bhd (HL Agro Farm).

Menurut Noor Syaheera, kajian dan penyelidikan berkenaan formula makanan ternakan itu dibantu tiga ahli lain iaitu Ts Dr Mohd Faizal Ghazali, Dr Nur Athiqah Md Yusof dan Dr Chai Min Hian.

“Idea menghasilkan formula makanan ternakan yang dikenali sebagai Dedak HL tercetus semasa pandemik Covid-19. Ketika itu bekalan makanan terputus dan haiwan ternakan diberi rutin makanan yang tidak menentu.

“Ia telah memberi kesan kepada faktor fizikal haiwan termasuk menjadi semakin kurus selain penghasilan daging lembu juga menurun. Permasalahan itu menjadi faktor utama bermulanya idea untuk menghasilkan formula makanan ternakan yang dapat memberi manfaat kepada haiwan ternakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Noor Syaheera berkata, pada masa yang sama terdapat pemain industri yang berjumpa dengan kami dan menyatakan hasrat untuk membangunkan sebuah ladang ternakan lembu iaitu HL Agro Farm di Bachok, Kelantan.

“Kami mula bekerjasama dengan HL Agro Farm menerusi penyelidikan termasuklah mengkaji analisis makanan ternakan dan komposisinya. Kami juga melakukan ujian makmal dan di lapangan mengenai kadar kenaikan tumbesaran lembu tersebut,” katanya.

Noor Syaheera menunjukkan Dedak HL yang dihasilkan dengan kerjasama HL Agro Farm.
Noor Syaheera menunjukkan Dedak HL yang dihasilkan dengan kerjasama HL Agro Farm.

Artikel Berkaitan:

Noor Syaheera berkata, terdapat tiga kejayaan yang dicapai menerusi penghasilan formula makanan ternakan iaitu peningkatan produktiviti ternakan, pengurangan kos pengeluaran dan peningkatan kesihatan haiwan.

“Antara pencapaian yang kami perolehi ialah peningkatan berat badan lembu sebanyak 20 hingga 30 peratus dalam tempoh dua hingga tiga bulan melalui formula diberikan kepada haiwan ternakan.

“Sebagai contoh berat lembu tersebut sebanyak 100 kilogram (kg) namun dua hingga tiga bulan kemudian selepas diberi formula makanan ternakan, ia telah mencecah berat sebanyak 130 kilogram.

“Hal ini secara tidak langsung menunjukkan penyelidikan yang dijalankan berjaya menghasilkan formula makanan ternakan yang meningkatkan kadar tumbesaran, kesihatan dan produktiviti haiwan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Noor Syaheera menyatakan ia juga mampu mengurangkan kos pengeluaran menerusi inovasi dalam formula makanan yang dihasilkan.

“Industri dan penternak telah membantu mengurangkan kos pengeluaran makanan ternakan sebanyak 40 peratus.

“Ini termasuklah penggunaan bahan-bahan lebih murah tetapi berkesan sekali gus mengurangkan bahan tambahan yang mahal,” ujarnya.

Kumpulan pengkaji dari UniSZA ini juga menyahut seruan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membantu mengatasi masalah kenaikan harga dedak ternakan di pasaran.

Noor Syaheera berkata, formula makanan yang dijalankan melalui penyelidikan universiti dan industri telah membantu meningkatkan tahap kesihatan haiwan ternakan dengan lebih baik.

Katanya, formula itu juga mengandungi vitamin dan bahan tambahan lain yang menyokong sistem imun haiwan.

KPKM tumpu meningkatkan SSR daging

Dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), KPKM telah menyasarkan komoditi ternakan mencapai 50 peratus kadar sara diri (SSR) menjelang tahun 2030 bagi daging lembu.

Menurut KPKM, strategi meningkatkan pengeluaran daging ini termasuklah melibatkan pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan untuk mengenalpasti formulasi bahan makanan ternakan yang ekonomi dan berkesan.

Permintaan

Sementara itu, Noor Syaheera berkata, buat masa ini pihaknya hanya memasarkan produk formula makanan ternakan itu dalam skala yang kecil.

“Kami hanya menjualnya kepada penternak di sekitar Bachok dan ada permintaan daripada penternak dari kawasan lain.

“Namun disebabkan buat masa ini kami tiada kilang untuk mengeluarkan produk dalam kapasiti yang besar maka ia dijual secara kecil-kecilan sahaja.

“Dalam sebulan kami mampu menjual sebanyak lima tan formula makanan ternakan dan ia dijual pada harga RM22 untuk 35 kg," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai rancangan jangka masa panjang, Noor Syaheera menyatakan pihaknya ingin membangunkan kilang untuk pemprosesan palet.

“Setakat ini kita sudah ada mesin palet tetapi ia hanya untuk kegunaan sendiri dan bukan dihasilkan pada skala yang besar," ujarnya.

Selain itu, Noor Syaheera berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan sebuah bangunan jualan di HL Agro Farm yang dilengkapi dengan tempat penjualan produk berasaskan lembu seperti daging.

Kepakaran

Mengenai langkah-langkah mengkomersialkan formula tersebut, Noor Syaheera menjelaskan pihaknya ingin menggunakan slogan 'rancangan bermula dari aktiviti penyelidikan dan pembangunan hingga ke pasar' untuk menunjukkan universiti mempunyai kepakaran dan mempunyai makmal yang dilengkapi teknologi canggih.

Tambahnya, ia bagi menjalankan analisis komposisi makanan ternakan selain kajian keberkesanan formula tersebut.

Beliau juga merancang untuk mengedarkan produk makanan ternakan itu melalui rangkaian pengedaran yang sedia ada seperti kedai haiwan ternakan dan kedai runcit, melalui jualan langsung atau platform dalam talian.

Noor Syaheera juga berharap penyelidikan menghasilkan formula makanan ternakan tersebut tidak berhenti setakat itu sahaja, beliau ingin mendidik masyarakat mengenai penjagaan haiwan yang betul.

“Kami akan meneruskan kajian dan penyelidikan yang telah dilakukan kerana mempunyai rasa tanggungjawab untuk mendidik orang ramai terutama penternak muda dan pelajar.

“Kumpulan kami juga berharap akan ada kerjasama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, untuk membangunkan dan melaksanakan lebih banyak lagi kursus akademik dan praktikal. Kami boleh mengajar penternak muda mengenai pengurusan haiwan yang betul, nutrisi yang diperlukan setiap haiwan ternakan, teknik-teknik terkini dalam pengurusan ternakan dan formula makanan.

“UniSZA yang bekerjasama dengan industri pertanian dan industri ternakan akan terus mengaplikasikan hasil kajian mereka dalam skala komersial atau melakukan penambahbaikan amalan pertanian yang sedia ada,” jelas Noor Syaheera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!