[VIDEO] DUN Sungai Bakap: Isu ISO, Abidin tak kecil hati

A
A
A

NIBONG TEBAL - "Saya tak kecil hati."

Demikian pengakuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail apabila ditanya mengenai isu kesahihan sijil Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO 14001) dimiliknya yang masih dimainkan oleh pihak lawan.

Beliau berkata, berbakti untuk masyarakat bukan diukur dengan latarbelakang akademi sebaliknya keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab itu lebih penting.

Tidak menafikan pendidikan itu penting, Abidin berkata, keikhlasannya menjalankan tugas sebagai pegawai khas kepada penyandang ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff adalah senjata utamanya untuk memenangi hati pengundi di kawasan berkenaan bagi memilihnya sebagai wakil rakyat yang baharu.

Abidin (empat dari kanan) bersama Dominic (enam dari kanan) dan pemimpin Parti Gerakan Pulau Pinang menyantuni penduduk Sungai Bakap di sebuah restoran pada Isnin.
Abidin (empat dari kanan) bersama Dominic (enam dari kanan) dan pemimpin Parti Gerakan Pulau Pinang menyantuni penduduk Sungai Bakap di sebuah restoran pada Isnin.

"Bagi saya, mereka main isu ISO, bukan satu isu buat saya. Saya tidak nafikan, pencapaian akademi adalah kebaikan untuk individu tetapi kerja untuk masyarakat ini, ia bukan satu tugas berdasarkan akademik semata-mata. Ia atas pengalaman.

"Kadang-kadang buat kerja ni, atas naluri, bukan atas satu lakonan. Saya dah biasa berkhidmat untuk rakyat sebab dari dulu lagi (ketika saya Pemuda Pas), kita dah banyak buat kebajikan contohnya jika ada bencana, kita akan turun.

"Itu dah jadi jiwa naluri arwah (Nor Zamri) yang sebati dengan saya sebab kami satu pasukan. Kami bukan bantu rakyat di Sungai Bakap saja, satu Malaysia. Saya tak kecil hati pun,"katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Sungai Bakap di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Abidin dan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai bersama pemimpin Parti Gerakan Pulau Pinang menyantuni pengundi di Sungai Bakap selepas kemenangannya pada Sabtu lalu.

Keramahan Abidin (tiga dari kanan) menyenangkan pengundi Sungai Bakap.
Keramahan Abidin (tiga dari kanan) menyenangkan pengundi Sungai Bakap.

Mengulas lanjut, Abidin, 56, berkata, ALLAH SWT tidak memberi semua keistimewaan kepada seseorang sebaliknya setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

"Tuhan tak bagi semua sama rata sebab kita saling memerlukan. Kalau semua cerdik, pandai, siapa nak jadi yang bawah? Kita saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

"Saya rasa perbandingan dalam isu akademik ni, tak perlu. Saya tak ada masalah. Memang lah, pihak lawan ni, dia nak jatuhkan kita, dia akan main isu-isu macam ini. Tiada masalah bagi saya, bukan isu. Yang penting, amanah dengan Tuhan, buat kerja Lillahitaala.

"Itu yang paling penting. Pelajaran itu penting, saya tak nafikan, anak-anak saya pun dapat 'straight 11A', itu bagus. Mungkin kekangan masa, saya orang susah, tak berpeluang nak belajar tinggi. Bukan bermaksud kita ni bodoh, tak tahu apa langsung," katanya.

Pada Sabtu, Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam Pilihan Raya Kecil kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif logistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon PH, Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!