'Ahli politik tidak terkecuali jadi mangsa buli siber'

Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Gulam Muszaffar
Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Gulam Muszaffar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli politik tidak terkecuali daripada menjadi mangsa jenayah buli siber, kata Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar.

Beliau berkata, mangsa buli di media sosial boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira ahli politik, artis, pempengaruh atau pemain bola sepak hanya kerana berbeza fahaman.

Menurutnya, sifat pemalu, pemaaf dan kasih sayang semakin luntur dalam kalangan masyarakat sehingga sanggup memainkan sentimen yang melampaui batas.

“Pantang ada salah atau tidak sehaluan dengan situasi semasa lebih-lebih lagi melibatkan isu sensitif pasti diugut. Kadang-kadang jatuh ke tahap fitnah dan mereka-reka cerita tanpa bukti sahih.

“Saya sendiri melihat komen, bahasa atau perkataan yang digunakan amat jelik, tidak bertamadun dan lucah, tak menggambarkan Malaysia merdeka hampir 70 tahun. Bahasa menunjukkan bangsa dan keperibadian masing-masing.

“Satu perkara yang serius dan sudah menjadi barah di kalangan masyarakat kita terutamanya netizen,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Jumaat, seorang pempengaruh TikTok berusia 29 tahun ditemui maut di rumahnya dipercayai tertekan akibat dibuli beberapa individu di media sosial.

Dia pada Khamis lalu sempat membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berikutan dirinya dibuli selain menerima ugutan bunuh dan rogol.

Gulam berpendapat, kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu mencari kaedah bersesuaian bagi mengheret pembuli di media sosial ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

“Ia perlu supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat sentiasa terjamin dan terpelihara,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!