Kesepakatan antara faktor kemenangan PN di Sungai Bakap

Dominic
Dominic
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kesepakatan semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) antara faktor utama calon dari Pas, Abidin Ismail menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Sabtu lepas.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, perpaduan antara parti PN dalam menggerakkan kempen sepanjang tempoh berkempen juga memainkan peranan penting bagi memastikan kerusi Sungai Bakap kekal milik PN.

Menurutnya, dalam PRK itu juga, PN mengambil pendekatan yang berbeza berbanding PRK Kuala Kubu Bharu yang diadakan sebelum ini.

"Memang dalam siri berkempen, ada pandangan berbeza tetapi objektif kita adalah sama iaitu mahu calon PN menang. Terima kasih kepada pengundi Sungai Bakap yang berani menolak calon Kerajaan Madani.

"Banyak faktor yang membolehkan kita menang antaranya kita meletakkan calon yang tepat. Ini kerana, calon kita, Abidin memang arif dalam selok-belok di Sungai Bakap. Beliau juga menunjukkan seorang pemimpin yang berdedikasi dan boleh diterima oleh pelbagai kaum.

"Selain itu, jentera kita memang berkempen bersungguh-sungguh bagi memastikan semua undi berpihak kepada kita. Kita berkempen tanpa memburukkan pihak lawan, itu kelebihan yang kita ada," katanya dalam satu sidang media di sebuah restoran di Sungai Bakap di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu mengiringi Abidin menyantuni pengundi yang menjamu selera di situ selepas memenangi PRK Sungai Bakap.

Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, keharmonian dan sikap satu hati yang diterapkan di dalam PN juga menyebabkan rakyat yakin terhadap gabungan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Keharmonian di dalam PN ini, tiada dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP. Saya dapat tahu, DAP ada dua team. Satu team Ketua Menteri, satu lagi bukan team Ketua Menteri. Di situ pun kita dah tahu, mereka tidak bersatu padu.

"Saya tengok, Chow Kon Yeow saja yang keluar berkempen. Team DAP lain, tak ada pun. Berbeza dengan PN, semua parti komponen bertungkus lumus berkempen untuk bagi kemenangan kepada calon kita," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, pengundi Cina dan India telah kembali menyokong PN berdasarkan kepada keputusan terkini PRK yang membolehkan Abidin menang dengan majoriti 4,267 undi.

"Jumlah majoriti yang besar itu merupakan satu mesej jelas rakyat menolak Kerajaan Madani. Kita memang tidak ada data mengenai pengundi India atau Cina undi siapa tetapi kita boleh lihat keputusan di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang merupakan kawasan majoriti penduduk bukan Melayu iaitu PDM Puteri Gunong dan PDM Sungai Bakap.

"Di PDM Puteri Gunong pada pilihan raya sebelum ini kita kalah lebih 2,000 undi, tetapi pada PRK kita kalah dengan jumlah 361 undi.

"Bagi PDM Sungai Bakap pula pada pilihan raya sebelum ini kita kalah dengan 650 undi, namun kali ini kita menang dengan 145 undi, jadi di sini kita boleh nampak dengan jelas bahawa sokongan pengundi Cina dan India memihak kepada PN," katanya.

Pada PRK Sungai Bakap Sabtu lalu, Abidin mengekalkan penguasaan PN di kerusi DUN berkenaan dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Dominic berkata, Gerakan bersiap sedia untuk turun membantu kempen calon PN bagi memastikan kemenangan gabungan itu di situ.

''Pendekatan kempen mungkin berbeza dengan cara yang kita gunakan di Sungai Bakap kerana kita perlu mengkaji dahulu ratio pengundi di sana, isu-isu serta permasalahan penduduk setempat di DUN Nenggiri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!