Zahid beri jaminan UMNO tanding Parlimen Kuala Kangsar

Ahmad Zahid (tengah) menerima cenderahati daripada Maslin Sham selepas menyempurnakan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak pada Isnin.
Ahmad Zahid (tengah) menerima cenderahati daripada Maslin Sham selepas menyempurnakan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak pada Isnin.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kerusi Parlimen Kuala Kangsar akan kekal ditandingi UMNO jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jaminan itu diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan bahawa kerusi tersebut akan dipertahankan parti itu seperti dalam pilihan raya sebelum ini.

"Jangan risaulah tentang soal Kuala Kangsar (kerusi Parlimen) itu. Kalau ada PRK pun memang saya hendak bagi UMNO bertanding. Bekerjasama lah yang ada di atas pentas dan di bawah pentas.

"Saya tahu, saya ingatkan diri saya jangan ingat kita boleh duduk atas pentas ini kalau tidak ada sokongan daripada yang bawah. Yang atas kena menyantuni yang di bawah, yang bawah kena menghormati yang di atas. Kukuhkan parti sekarang ini, jangan berbeza pendapat," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa calon yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU akan datang diberi keutamaan kepada anak tempatan.

Menurutnya, calon-calon yang akan dipilih mesti memastikan kawasan yang tewas pada PRU sebelumnya kembali dirampas.

"Ya di Kuala Kangsar ini dahulu ahli-ahli Parlimennya orang luar Kuala Kangsar seperti Rafidah Aziz dan saya tak nak sebut siapa-siapa selepas itu. Kalau kali ini anak Kuala Kangsar, orang UMNO tak menang juga aku humban kamu.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu janji dengan saya kalau saya letak orang UMNO, calon itu wajib menang dalam pilihan raya Parlimen dan DUN," katanya lagi.

Beliau turut meminta semua pemimpin dan ahli bersatu serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain untuk memastikan UMNO terus kuat.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenai pembahagian kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 akan dibawa ke mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional bagi mengelak sebarang pertindihan.

Katanya, menjadi amalan parti-parti politik akan membuat persiapan lebih awal termasuk menentukan kerusi yang bakal ditandingi nanti supaya tidak berlaku pertembungan di antara parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Sinar Harian pada 6 Julai lalu melaporkan, Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan hasrat untuk meletakkan calon jika berlaku PRK Parlimen Kuala Kangsar dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden Amanah, Adly Zahari kerana berdasarkan rekod lalu, parti tersebut bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan hasrat itu ingin diteruskan.

Pada 20 Jun lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi satu kenyataan memberitahu notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen mereka telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam membabitkan Ahli Parlimen iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Untuk rekod pada PRU15, Iskandar Dzulkarnain menang di Parlimen Kuala Kangsar dengan 14,380 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Maslin Sham yang memperoleh 10,814 undi diikuti calon PH, Dr Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Dr Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!