Rokok seludup hampir RM2.4 juta dirampas


Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kiri) memeriksa rokok-rokok seludup yang ditemukan dalam kotak-kotak. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kiri) memeriksa rokok-rokok seludup yang ditemukan dalam kotak-kotak. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 15,700 karton rokok seludup bernilai hampir RM2.4 juta dalam serbuan di Jalan Raya Timur Barat di Jeli, 2 Julai lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, operasi dilakukan jam 3.40 petang itu turut melibatkan penahanan seorang pemandu lelaki yang berusia 49 tahun.

“Hasil maklumat dan risikan yang dilakukan, JKDM Kelantan berjaya merampas rokok seludup yang dimuatkan dalam sebuah lori 11 tan ketika dalam perjalanan ke arah utara.

Wan Jamal Abdul Salam
Wan Jamal Abdul Salam

“Pemeriksaan di ruangan barangan lori itu menemukan rokok-rokok seludup dengan nilai dianggarkan hampir RM2.4 juta berserta cukai,” katanya dalam satu sidang akhbar, di Pejabat Penguatkuasan JKDM Kelantan di Padang Bongor, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, suspek warga tempatan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana dipercayai penyeludup rokok-rokok untuk pasaran di utara tanah air.

Katanya, selain itu, dalam operasi seminggu bermula 29 Jun hingga 5 Julai lalu, JKDM Kelantan turut merekodkan 16 lagi kes melibatkan rampasan termasuk 64.61 liter minuman keras, 1.5 kilogram (kg) mercun, 321 kg beras, 1.1 liter petrol dan barangan-barangan lain beserta cukai bernilai RM62,155 di Gua Musang.

Artikel Berkaitan:


Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

“Berdasarkan siasatan, modus operandi penyeludupan dipercayai membawa masuk barangan tersebut dari negara jiran melalui Sungai Golok atau pesisir pantai menggunakan sampan atau bot.

“Barangan kemudian dimuatkan menggunakan kenderaan seperti lori atau kereta untuk diedarkan kepada pasaran tempatan atau pasaran luar negeri Kelantan,” katanya.

Ujar Wan Jamal Abdul Salam, kesemua barang rampasan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda minimum 10 kali nilai barang atau RM50,000 mana-mana lebih besar dan maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,000 mana-mana lebih besar atau dipenjarakan minimum enam bulan dan maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Lori yang digunakan untuk membawa rokok-rokok seludup. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Lori yang digunakan untuk membawa rokok-rokok seludup. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

Bagi kesalahan melibatkan rokok dan minuman keras, pesalah boleh didenda mininum 10 kali nilai barang atau RM100,000 mana-mana lebih besar dan maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,000 mana-mana lebih besar atau dipenjarakan enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!