Pegawai bomba cedera ketika operasi padam kebakaran gudang

Anggota bomba memadam kebakaran melibatkan gudang menyimpan barangan runcit di Jalan Bukit Ubi pada Ahad.
Anggota bomba memadam kebakaran melibatkan gudang menyimpan barangan runcit di Jalan Bukit Ubi pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Kamerul Bieza Mohamed Kassim cedera selepas terjatuh dalam air bercampur minyak panas ketika operasi memadam kebakaran sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Jalan Bukit Ubi di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, mangsa yang melecur tahap dua di bahagian tangan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan.

Menurutnya, mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan.

"Kebakaran yang dilaporkan jam 9.12 malam itu memusnahkan keseluruhan struktur gudang terbabit.

Sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Jalan Bukit Ubi terbakar pada Ahad.
Sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Jalan Bukit Ubi terbakar pada Ahad.

"Sejurus panggilan kecemasan diterima, sepasukan anggota terdiri 19 anggota dan tujuh pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng bersama lima jentera ke lokasi untuk operasi pemadaman.

"Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran hos air tangki pam jentera bomba manakala bekalan air dari jentera tangki air, pili bomba berhampiran dan bekalan air dari dua lori tangki Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP)," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Wan Mohammad Zaidi berkata, kebakaran berjaya dikawal jam 10.45 malam dan tidak merebak ke bangunan lain.

Artikel Berkaitan:

"Anggaran keluasan bangunan terlibat 9 x 14 meter persegi dan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Kebakaran berjaya dikawal jam 10.45 malam dan tidak merebak ke bangunan lain.
Kebakaran berjaya dikawal jam 10.45 malam dan tidak merebak ke bangunan lain.

"Unit anjing pengesan (K9) bomba diarahkan ke lokasi kebakaran bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, katanya, dalam kejadian berasingan sebuah kereta musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Bukit Ubi 1, Kampung Bukit Ubi di sini pada awal pagi Isnin.

Beliau berkata, dalam kebakaran yang dilaporkan jam 6.51 pagi itu, kereta jenis Mercedes C200 itu musnah sepenuhnya.

"Bagaimanapun tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.

"Operasi pemadaman dijalankan sepasukan anggota dari BBP Kuantan dibantu anggota dari BBP Gebeng," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!