Lelaki tular pakai baju T logo PDRM bukan pegawai polis

Tangkap layar hantaran tular berhubung tindakan seorang lelaki berpakaian tertera logo PDRM semasa kejadian di hadapan bangunan Empire, Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu. - Foto: PDRM.
Tangkap layar hantaran tular berhubung tindakan seorang lelaki berpakaian tertera logo PDRM semasa kejadian di hadapan bangunan Empire, Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu. - Foto: PDRM.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lelaki yang tular memakai baju T tertera logo PDRM bukan seorang pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular di aplikasi media sosial Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun, Philip Ong bertajuk 'My Kids Will Never Respect The Police' pada Ahad jam 10 malam.

Menurutnya, hantaran itu memaparkan dua gambar dan satu video berdurasi 13 saat yang menunjukkan seorang lelaki memakai baju T tertera logo PDRM yang didakwa meletakkan kenderaan di kawasan larangan.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana berhadapan bangunan Empire dekat sini.

"Maklumat mendapati insiden itu berlaku pada Rabu, jam 8.30 pagi semasa pemandu kereta jenis Volkswagen Polo Hatchback sedang menurunkan isterinya yang bekerja di bangunan Empire dan telah dimarahi oleh seorang pengguna jalan raya.

"Lelaki itu marah kepada pemandu Volkswagen Polo Hatchback kerana menurunkan penumpang di kawasan garisan yang tidak boleh berhenti.

"Hasil siasatan awal, pemandu kereta berkenaan bukanlah seorang pegawai polis dan baju yang dipakai diperoleh semasa mengikuti satu acara 'fun ride' anjuran PDRM di Shah Alam, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Shahrulnizam berkata, pihak polis akan mengesan pemandu yang memakai baju lambang PDRM dan individu yang membuat hantaran tersebut

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.

"Semua pengguna jalan raya diminta mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terus bertindak melulu dengan menuduh dan memfitnah mana-mana pihak terutama pihak penguat kuasa undang-undang tanpa sebarang keterangan sahih," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!