Gerai durian 'harga Rahmah' hingga September
JASIN - Seorang pengusaha durian di Bemban dekat sini menganggap musim durian yang panjang pada tahun ini hingga September depan sebagai peluang buatnya menjual raja buah itu dengan harga lebih murah.
Pemilik premis Malacca Durian Heng, Tan Thian Yew, 26, berkata, disebabkan harga yang ditawarkan berpatutan menyebabkan kedainya yang terletak di tepi jalan menjadi tumpuan ramai dengan kehadiran lebih 100 pelanggan setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 7 petang.
Menurutnya, jualan murah yang ditawarkan termasuk Durian Kampung bermula dari harga RM3 sekilogram (kg) dan Durian Udang Merah bermula RM10kg secara tidak langsung membantu golongan B40 untuk menikmati raja buah itu dengan harga lebih murah berbanding tahun lalu yang mana harga durian kampung dijual pada harga RM10kg.
Thian Yew berkata, di tapak jualan tersebut, dia turut menyediakan lebih 10 meja untuk pelanggan menikmati terus durian segar selain turut menjual Durian Musang King dan Durian Duri Hitam.
"Saya sampai tak menang tangan melayan pelanggan sebab ramai yang datang tak kira bangsa, malah ada juga pelanggan yang datang dari luar Melaka semata-mata untuk menikmati durian murah.
"Sekurang-kurangnya bila kita jual murah bukan sahaja dapat berkongsi rezeki malah mengelak berlakunya lambakan durian yang akan menyebabkan kerugian," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Tambahnya, dianggarkan lebih 1,000kg membabitkan satu tan metrik durian terjual setiap hari termasuk Durian Undang Merah yang mendapat permintaan tinggi musim ini.
Ujarnya, selagi bekalan masih ada, dia akan terus menjual dengan 'harga Rahmah' termasuk menggunakan media sosial seperti TikTok untuk mempromosikan perniagaannya yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu termasuk ketika pandemik Covid-19.
"Saya cuba berikan layanan terbaik kepada pelanggan tak kira apa bangsa dan juga latar belakang, bagi saya semua orang boleh menikmati durian bersama," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!