Tiga syarikat minat beli Semarak20 - TPM

Ahmad Zahid (dua dari kiri) menyantuni perwakilan yang hadir ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak pada Isnin.
Ahmad Zahid (dua dari kiri) menyantuni perwakilan yang hadir ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak pada Isnin.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Terdapat sekurang-kurangnya tiga agensi atau syarikat yang menunjukkan minat untuk membeli bangunan Semarak20 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur milik Felcra Berhad.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjualan bangunan tersebut merupakan usaha yang dilakukan susulan teguran dibuat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pinjaman yang diberikan kerajaan kepada Felcra bagi tujuan pembinaan bangunan tersebut.

Jelasnya, selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), perkara itu akan diselesaikan biarpun ia berlaku ketika zaman sebelumnya.

"Benar bahawa pinjaman yang dibuat oleh Felcra itu adalah pinjaman daripada kerajaan Malaysia dan antara pinjaman itu termasuklah membina bangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur.

"Saya telah mendapat sekurang-kurangnya tiga agensi ataupun syarikat yang berpotensi untuk membeli bangunan yang siap itu dan tidak diduduki. Oleh kerana kos pembinaannya agak mahal, tentunya kita mahu menjualnya pada harga pasaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.

Ahmad Zahid berkata, melalui penjualan itu diharap dapat melunaskan hutang yang dibuat Felcra daripada kerajaan.

Beliau berkata, jawatankuasa khas sudah diwujudkan di peringkat KKDW malah peringkat dalaman Felcra sendiri untuk meneliti laporan dan syor dibuat PAC serta Laporan Ketua Audit Negara.

"Kita di kementerian sudah bentuk lama (jawatankuasa khas) malah Felcra sendiri secara dalaman juga sudah lama membentuknya disebabkan ini masalah pengurusan terdahulu. Saya juga sudah melakukan beberapa kali penelitian dan perbincangan bersama-sama dengan CEO (ketua pegawai eksekutif) dan anak-anak syarikat di bawah Felcra.

Artikel Berkaitan:

"Saya berterima kasih kerana Ketua Audit Negara dan PAC memaklumkan perkara ini, dan saya sebagai menteri yang menjalankan tugas sekarang ini harus menyelesaikan masalah-masalah itu serta mencari jalan untuk melakukan pembersihan terhadap penyelewengan yang ada ketika itu, jika ada," katanya.

Sementara itu mengenai kerugian terkumpul dialami Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) sebanyak RM286.30 juta sejak 2012 hingga 2022 sepertimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), beliau mengambil tanggungjawab untuk melakukan pembersihan jika berlaku sebarang penyelewengan.

Pada 26 Jun lalu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengarahkan KKDW serta Felcra melaporkan kepada PAC setiap tiga bulan berhubung status pembayaran hutang bagi projek Menara Semarak20.

Ia juga merupakan antara lima syor dikemukakan kepada kerajaan untuk memantau isu hutang ditanggung Felcra Berhad serta anak-anak syarikatnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!