NUBE dakwa majikan tak sedia latihan sama rata

HRDF adalah sumber penting dalam meningkatkan kemahiran dan kecekapan tenaga kerja Malaysia melalui program latihan yang disediakan. - Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: J Solomon
HRDF adalah sumber penting dalam meningkatkan kemahiran dan kecekapan tenaga kerja Malaysia melalui program latihan yang disediakan. - Gambar hiasan 123RF. Gambar kecil: J Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) mendakwa majikan tidak menyediakan peluang latihan yang sama rata kepada pekerja melalui pelbagai program yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, antara alasan yang sering kali diberikan pengurusan ialah kebimbangan mereka terhadap masalah kekurangan tenaga kerja, kesan kepada operasi dan bimbang pekerja ‘diambil’ pesaing.

Jelasnya, ia sekali gus akan menjejaskan matlamat asas Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan kemajuan kolektif tenaga kerja.

“Kami mengharapkan tindakan segera dan telus diambil dalam memastikan semua pekerja mendapat manfaat yang sama daripada program latihan HRDF.

“Satu-satunya penyelesaian ialah kesatuan sekerja mesti diberikan hak yang sama sebagai majikan untuk menentukan program latihan untuk pekerja.

“Selain itu, kawalan tiga pihak terhadap HRDF melalui kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja adalah satu-satunya cara yang boleh dilaksanakan, praktikal dan munasabah untuk memastikan HRDF digunakan sepenuhnya untuk faedah pekerja dan tidak disalahgunakan atau disia-siakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Solomon, HRDF adalah sumber penting dalam meningkatkan kemahiran dan kecekapan tenaga kerja Malaysia.

Bagaimanapun, di sebalik niat murninya, pemerhatian dan laporan baru-baru ini telah menyerlahkan beberapa kebimbangan mengenai penggunaan dan pengurusan dana terutamanya dalam sektor perbankan.

Artikel Berkaitan:

“Majikan yang mempunyai lebih daripada 10 pekerja Malaysia perlu mendaftar untuk HRDF dan membayar satu peratus daripada gaji bulanan pekerja merentasi pelbagai sektor, termasuk perbankan untuk kutipan levi.

“Berdasarkan Tinjauan Kewangan 2023, HRDF mengumpul RM2.2 bilion pada 2023 tetapi hanya membelanjakan RM1.8 bilion untuk program latihan.

“Terdapat ketidakpastian sama ada RM1.8 bilion yang dibelanjakan untuk latihan digunakan sepenuhnya untuk latihan yang difasilitasi oleh majikan atau latihan yang dikendalikan kerajaan untuk projek kerajaan,” jelasnya.

Beliau turut mendakwa majikan terutamanya dalam sektor perbankan yang mula membayar levi pada 2022 tidak menggunakan sepenuhnya program HRDF untuk pekerja B40 dan M40.

Tegasnya, tanpa peraturan yang ketat, tujuan asal HRDF akan terjejas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!