Keluarga mohon bantuan cari Rohani

Rohani atau dikenali sebagai Makndak dilaporkan hilang sejak 9 Jun lalu.
Rohani atau dikenali sebagai Makndak dilaporkan hilang sejak 9 Jun lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Orang ramai diminta untuk membantu mengesan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Paya Terubong dekat sini sejak Jun lalu.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Rohani Babu, 63 dikhabarkan kali terakhir dilihat berada di rumahnya di Kampung Lembah Ria, Ayer Itam di sini pada 9 Jun lalu.

Sepupu kepada Rohani, Shamsiah Ibrahim, 39 ketika dihubungi berkata, Rohani dikenali sebagai 'Mak Andak' dalam kalangan ahli keluarga serta jiran-jirannya.

Shamsiah berkata, Rohani tinggal berseorangan yang mana, kediamannya itu bersebelahan dengan rumahnya.

"Dia ada seorang anak tetapi duduk seorang diri. Saya sedar dia hilang selepas tengok pintu rumahnya terbuka pada tengah malam hari tu. Keadaan rumahnya berselerak. Masa dia keluar rumah tu, tak ada siapa yang nampak.

"Jadi kami tak tahu pakaian terakhir yang dia pakai. Kami percaya dia keluar sehelai sepinggang tanpa bawa dokumen pengenalan diri," katanya.

Menurutnya, dua laporan polis telah dibuat sejak kehilangan sepupunya itu selain berusaha melalui pengamal perubatan Islam.

"Kami dah cari merata, tak jumpa. Semua tempat-tempat awam kami cari. Di hospital pun kami cari, tetapi tiada pesakit bernama Rohani. Laporan polis pun dah buat. Sejak dia hilang, kami tak pernah berhenti mencari.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga minta tolong pengamal perubatan Islam, tetapi masih gagal. Ini kali ketiga dia hilang. Kami bimbang sebab kesihatannya tak begitu baik. Dia ada sawan, bercakap pun tak jelas. Kadang-kadang dia boleh hilang ingatan," katanya.

Sehubungan itu, Shamsiah memohon orang ramai membantu mengesan sepupunya itu kerana bimbang akan keselamatannya.

"Jika ada sesiapa ternampak atau ada maklumat mengenai Mak Andak, boleh hubungi saya di talian 011-6486 6763 atau segera ke balai polis berhampiran," keluhnya.

Sementara itu, polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Rohani dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui lokasi wanita tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, polis sedang berusaha mengesan warga emas itu selepas menerima laporan daripada ahli keluarganya pada Jun lalu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat ahli keluarganya, mangsa mempunyai seorang anak lelaki namun tinggal di Seberang Perai.

"Anaknya itu bekerja kilang di Batu Kawan manakala mangsa tinggal sendirian di sini. Anaknya juga telah melakukan pelbagai usaha mengesan ibunya namun gagal.

"Oleh itu, polis memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Rohani supaya menyalurkan maklumat berkenaan dengan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Zolkefli Mohd Nor di talian 013-5951192 atau Balai Polis Bandar Baru 04-2824522," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!