Kuah mi segera jadi ancaman kerosakan gunung tertinggi Korea Selatan
JEJU - Gunung tertinggi di Korea Selatan dikesan mengalami kerosakan alam sekitar daripada sumber yang tidak dijangka - kuah mi segera.
Berikutan itu, Pejabat Taman Negara Gunung Halla telah memulakan kempen untuk menggalakkan pendaki supaya tidak membuang air rebusan ramyun di gunung atau di sungai untuk memelihara 'persekitaran bersih'.
Sepanduk dipasang di sekeliling gunung berbunyi 'mari kita pelihara Gunung Halla yang bersih dan turunkan kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang baik', selain sepanduk menggesa pendaki mengurangkan bancuhan sup dalam mi segera.
Gunung Halla, berketinggian 1,947 meter, adalah gunung tertinggi di Korea Selatan terletak di destinasi percutian popular, Pulau Jeju, lapor CNN.
Gunung itu adalah sebahagian daripada tapak warisan Pulau Gunung Berapi Jeju dan Lava Tubes yang disenaraikan oleh UNESCO.
Tahun lepas, 923,680 orang melawat gunung itu, menurut statistik kerajaan.
Di Korea Selatan, adalah menjadi trend bagi pendaki untuk membawa ramyun - sejenis mi segera yang dihidangkan dalam cawan pakai buang, ketika mendaki.
Merokok, meninggalkan makanan dan sampah, masuk dan minum tanpa kebenaran adalah dilarang di gunung, dan mereka yang melanggar peraturan boleh berdepan hukuman sehingga 2,000,000 won (AS$1,442.15).
"Kuah ramen mengandungi banyak garam, jadi membuangnya di sepanjang aliran air lembah menjadikannya mustahil bagi serangga akuatik untuk hidup di dalam air yang tercemar," tulis Pejabat Taman Negara dalam catatan Facebook.
Polis Jeju dilaporkan mengambil tindakan tegas berikutan aduan berulang daripada penduduk mengenai tingkah laku pelancong di pulau itu.
Pelawat boleh dikenakan tiket atau didenda untuk tindakan termasuk membuang sampah, membuang air kecil dan merokok di kawasan larangan merokok yang ditetapkan.
Menurut polis Jeju, sembilan pelancong asing telah didenda pada hari pertama kawalan baharu, baru-baru ini. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!