Sejuta nanas MD2 ditanam di Kampung Parit Jerman
PONTIAN - Sebanyak sejuta nanas MD2 berjaya ditanam di atas tanah seluas kira-kira 20 hektar menerusi projek tanaman nanas berkelompok di Kampung Parit Jerman di sini, sejak Januari lalu.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, berkata buah nanas dijangka dituai pada Februari tahun hadapan dengan anggaran hasil sekitar 10 hingga 20 ribu biji sebulan.
"Projek tanaman nanas berkelompok Kampung Parit Jerman, merupakan inisiatif bagi mengembangkan industri penanaman nanas secara berkelompok dengan melibatkan peserta berusia bawah 40 tahun.
"Konsep "berkongsi keuntungan" di dalam projek ini, menarik minat golongan muda menceburi bidang penanaman nanas. Dianggarkan tuaian pertama pada Februari depan boleh mencecah jualan sekitar RM150,000," katanya.
Beliau berkata demikian sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang dan Benih Nanas
bagi Projek Taman Nanas Berkelompok di Kampung Parit Jerman di sini, pada Isnin.
Menurut Sheikh Umar, bagi menyokong projek tanaman nanas berkelompok, pusat pengumpulan hasil ladang dan benih nenas telah dibangunkan dengan kos sebanyak RM60,000 di Kampung Parit Jerman.
"Pusat ini akan berfungsi sebagai tempat pengumpulan, penggredan, pembungkusan dan pengagihan hasil nanas.
"Ia diharap dapat memastikan pengurusan hasil nanas lebih sistematik dan efektif. Dengan adanya pusat pengumpulan ini juga, industri nanas negara juga akan berkembang dan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan," katanya.
Sementara itu, penaung projek Mohammad Anal Talhah berkata, seramai lapan anak muda menyertai projek tanaman nanas berkelompok dengan fokus kepada tanaman nanas MD2 yang berpotensi besar.
Jelasnya, bantuan benih nanas dan khidmat nasihat diberikan LPNM amat bermanfaat kepada projek yang akan merancakkan ekonomi penduduk setempat.
"Walaupun projek baru dimulakan tetapi hampir 100 pengunjung sudah melawat projek. Pengunjung memberi cadangan agar disediakan satu mercu tanda sebagai daya tarikan untuk mereka merakam kenangan.
"Disamping itu, kami juga memohon agar pihak LPNM membantu dari segi pemasaran supaya projek ini dapat berjalan dengan baik dari segi penghasilan dan keuntungan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!