Sherry Ibrahim lakar kejayaan tersendiri tawan puncak Kinabalu
AKTRES Sherry Ibrahim mengukir kenangan terindah selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah, pada Ahad.
Lebih manis, kejayaannya itu turut diiringi kemunculan pelangi yang indah selepas matahari terbit.
“7 Julai 2024, syukur Alhamdulillah saya okay, saya berjaya sampai ke puncak sebelum matahari terbit dan berpeluang melihat pelangi yang indah selepas hujan," ujarnya menerusi hantaran di akaun media sosialnya.
Bagaimanapun ujar Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, pendakian pertama kali itu sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikalnya.
Malah secara berseloroh, wanita berusia 41 tahun itu menyifatkan pendakian ke gunung yang dipanggil Akinabalu dalam bahasa Kadazan itu sebagai yang pertama dan terakhir.
“Pendakian ke puncak ini bukan hanya tentang ketahanan fizikal. Perjalanan ini menguji keazaman, focus dan daya tahan yang mendorong saya mengatasi batas fizikal serta mental.
“Ini pertama dan terakhir ya Mr. Akinabalu. Saya tak dapat ‘rasa’ kaki sepanjang perjalanan turun dari gunung,” ujarnya yang melakukan latihan di Bukit Gasing, sebelum terbang ke Sabah.
Namun dalam masa sama, bintang drama Teduhan Kasih itu berpeluang mengenali ramai kenalan baharu sepanjang tempoh untuk mencapai ke puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
“Dapat berkenalan dengan kawan baharu dan mereka sangat kuat serta menakjubkan.
“Pada akhirnya, ini bukan tentang menawan Gunung Kinabalu tetapi diri sendiri kerana semua ini berlaku atas keizinan Allah SWT,” katanya.
Perkongsian Sherry itu mendapat pujian ramai dan tidak kurang yang berseloroh, Sherry pasti akan merindui untuk kembali mendaki Gunung Kinabalu selepas ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!