Tuduhan DAP gagal dekati pengundi Cina tidak benar

H'ng Mooi Lye
H'ng Mooi Lye
A
A
A

GEORGE TOWN - Tuduhan kononnya kegagalan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap disebabkan DAP gagal mendekati pengundi Cina adalah tidak benar.

Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, H'ng Mooi Lye berkata, tuduhan daripada UMNO itu adalah satu perkara yang tidak boleh diterima.

Menurutnya, semua parti komponen Kerajaan Perpaduan telah bertungkus-lumus dan memberi sokongan padu kepada calon PH dalam PRK tersebut.

"Tuduhan UMNO bahawa DAP gagal mendekati pengundi Cina mengakibatkan kekalahan PH dalam PRK Sungai Bakap adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

"Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan turun berkempen, malah pemimpin-pemimpin DAP juga turun berkempen ke Sungai Bakap untuk membantu tanpa lelah sepanjang tempoh kempen," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, veteran UMNO menuding jari terhadap DAP atas kekalahan PH dalam PRK Sungai Bakap yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Setiausahanya, Mustapha Yaakub berkata, UMNO telah melakukan yang terbaik untuk membantu PH namun mendakwa tidak bagi DAP.

Kata Mustapha, maklumat mengatakan, pengundi Cina memberitahu bahawa mereka tidak mahu keluar mengundi tanpa sebab.

Artikel Berkaitan:

Ia terbukti apabila hanya 47 peratus pengundi Cina yang keluar mengundi.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, keputusan PRK Sungai Bakap telah menunjukkan pilihan pengundi Sungai Bakap yang tidak berpihak kepada PH.

"Kita harus menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat pengundi dan akan terus berusaha membawa perubahan yang baik serta meyakinkan rakyat, bukannya membuat tuduhan dan menyalahkan mana-mana pihak.

"Gelombang perubahan yang sedang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan pada masa ini dilihat sukar diterima dan mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, Kerajaan Perpaduan tetap akan memperhebatkan usaha membela nasib rakyat, melaksanakan dasar demi manfaat rakyat agar semuanya dapat merasai pembaharuan yang dibawa oleh Kerajaan.

"Kerajaan Perpaduan juga akan menggandakan usaha dan mendengar suara akar umbi supaya dapat meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat bagi mendapatkan semula keyakinan serta sokongan rakyat," katanya.

Pada PRK Sungai Bakap Sabtu lalu, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail mengekalkan penguasaan PN di kerusi DUN berkenaan dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya, Joohari daripada PH yang meraih 10,222 undi.

Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu menang dengan majoriti 4,267 undi, membolehkan beliau meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!