Indonesia kutuk serangan udara Israel ke atas sekolah UNRWA di Gaza
JAKARTA - Indonesia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas sekolah Al-Jaouni yang dikendalikan oleh Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza.
Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan pada Isnin menyifatkan serangan pada Sabtu itu sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
"Israel terus melakukan kekejaman dan melanggar undang-undang antarabangsa, menyebabkan korban dalam kalangan orang awam terus meningkat,” menurut kementerian di akaun media sosial rasminya.
Kementerian itu turut mempersoalkan tindak balas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara yang menyokong Israel, serta menggesa tindakan tegas diambil terhadap apa yang disifatkan sebagai kekejaman berterusan.
Pegawai Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas sekolah Al-Jaouni, yang menempatkan ribuan warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!