Juruteknik putih mata wang simpanan lebih RM160,000 lesap

Seorang juruteknik berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM167,147.75 lesap akibat terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian. Foto hiasan
Seorang juruteknik berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM167,147.75 lesap akibat terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang juruteknik berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM167,147.75 lesap akibat terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang diperkenalkan oleh seorang kenalan di laman Facebooknya, Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu tertarik kaedah yang mudah dan pulangan tinggi dengan keuntungan 20 peratus daripada modal yang dilaburkan dalam skim berkenaan.

Katanya, lelaki itu kemudiannya daftar melalui pautan yang diberikan dan seterusnya mengambil tempahan daripada pelanggan dan membuat bayaran dengan mendahulukan wang miliknya.

“Mangsa juga telah melakukan 21 kali transaksi bayaran secara dalam talian kepada 14 akaun bank berbeza antara tarikh 29 April hingga 23 Jun lalu yang secara keseluruhannya berjumlah RM167,174.75.

“Pembayaran tersebut adalah untuk tempahan barangan yang mangsa kumpulkan daripada pelanggan dalam talian.

“Bagaimanapun, setelah melaburkan sejumlah wang tersebut, keuntungan tidak dapat dikeluarkan membuatkan mangsa sedar dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, pada Ahad,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!