Pempengaruh maut: Mangsa pernah tampil minta tolong
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pempengaruh TikTok berusia 29 yang ditemukan maut Khamis lepas pernah cuba meminta pertolongan daripada terus menjadi mangsa buli di media sosial.
Timbalan Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), David Marshel mendedahkan wanita berkenaan ada menghubunginya minggu lalu untuk diselamatkan daripada dibuli beberapa individu yang menggunakan nama samaran atau akaun palsu.
Menurutnya, pempengaruh itu memberitahu bahawa dia mahu membunuh diri akibat tekanan yang berpunca daripada kata-kata hinaan sehingga membabitkan ahli keluarga.
“Saya mengambil masa selama lebih 45 minit untuk bercakap dan menasihati beliau. Saya minta beliau menjauhi laman sosial, TikTok buat seketika dan kembali selepas semuanya reda.
“Saya juga minta beliau menguatkan jati diri dan berdoa untuk menangani tekanan ini. Beliau berjanji tidak akan bunuh diri dan akan jauhi segala tomahan yang dibuat oleh kumpulan (pembuli) tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Jumaat.
Mayat pempengaruh itu ditemui di rumahnya kira-kira jam 11 pagi, Khamis lalu.
Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang berkata, isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan.
Mengulas lanjut, David memberitahu, kes kematian akibat buli siber di Malaysia bukan perkara baharu yang perlu dibahaskan.
“Kami telah menggesa kerajaan agar satu dasar atau peraturan baharu untuk mengekang akaun laman sosial palsu yang berleluasa di semua laman sosial khususnya TikTok dan Telegram.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih berdolak-dalik! Kematian terbaharu ini amat menyedihkan. Sebelum ini ada beberapa kes bunuh diri akibat akaun sosial media palsu yang tidak dikawal,” ujarnya.
Susulan itu, beliau menggesa kerajaan mewajibkan setiap pendaftaran akaun media sosial perlu menggunakan kad pengenalan atau pasport bagi tujuan menghindari buli siber, fitnah yang melampau.
Katanya, langkah tersebut akan memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti dan mengambil tindakan serta membolehkan mangsa melakukan saman malu terhadap individu berkenaan.
“Harap kes kematian akibat bunuh diri pempengaruh bernama Esha adalah kes terakhir dan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi akan membuat dasar atau peraturan secepat mungkin.
“Kerajaan Madani juga perlu peka isu rakyat daripada pertahankan polisi menekan rakyat,” tegasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!