Titah Agong mengenai adab guna media sosial tepat pada masanya - Agamawan
KUALA LUMPUR - Ramai agamawan berpandangan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib adalah tepat pada masanya.
Felow Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi Al-Akiti berkata, Rasulullah SAW melarang umat Islam daripada mencaci, memaki, mengutuk, mencarut, mengumpat, memfitnah mahupun memalukan orang lain.
"Lebih-lebih lagi jika seseorang menulisnya di media sosial dan dikongsikan serta disebarkan pula oleh orang lain maka semua itu (berbuat demikian) akan mengutip saham 'dosa jariyyah' iaitu dosa berantai daripada orang yang mula-mula melakukannya sehingga yang terakhir,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.
Beliau yang juga tokoh teologi dan falsafah Islam yang tersenarai dalam The 500 Most Influential Muslims sejak 2010 berkata, agama Islam melarang penganutnya menuntut ilmu daripada orang-orang yang tidak memiliki ilmu yang sah terutama melalui media sosial.
"Musibah yang nyata melanda masyarakat kita pada hari ini apabila sudah menjadi trend bagi ‘ustaz celup’ yang tidak ada ilmu asas sama sekali seperti bahasa Arab dan ilmu teknikal yang mengambil masa untuk matang seperti Usul al-Fiqh dan lain-lain sudah berani mengeluarkan komen berhubung urusan agama.
"Justeru, atas sebab itu pihak berkuasa agama mewajibkan Tauliah Mengajar untuk memastikan ustaz yang mengajar benar-benar berkelayakan untuk mengajar,” katanya.
Semalam, Seri Paduka Baginda bertitah supaya rakyat tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan serta persengketaan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Qur’an dan Sunnah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin berkata, berbeza pandangan dalam urusan kenegaraan atau politik adalah sah dalam amalan demokratik.
Bagaimanapun, beliau berkata, apa yang berlaku adalah perbalahan atau perbezaan itu diheret kepada perkara melampau sehingga menggunakan bahasa kesat, kasar, hinaan dan makian.
"Hal yang sama membawa kepada penghinaan peribadi dan aib jadi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sangat tepat dalam membina semula etika berpolitik dan berbeza pandangan.
Beliau berkata, negara maju akan hilang roh dan semangat yang baik apabila etika serta perbezaan adab tidak dipedulikan.
Justeru itu, keprihatinan dan teguran Sultan Ibrahim bertepatan serta sangat diperlukan pada masa ini dan setiap masa.
Pempengaruh TikTok Muhammad Mikhael Sathayah yang dikenali dengan watak ‘muka gangster’ berkata perkongsian jenis kandungan di media sosial mencerminkan keperibadian setiap pengguna.
"Saya sentiasa menjadi diri sendiri ketika memuat naik kandungan di media sosial dan sekiranya ada komen berbentuk kecaman dan provokasi, kita boleh padamkan sahaja bagi mengelakkan perbalahan," katanya.
Beliau berkata, imejnya yang memakai rantai besi besar, bersinglet dan riak muka berjambang yang garang tidak bermakna dirinya seorang yang cepat marah dan bergaduh dengan mana-mana pihak sebaliknya banyak mempraktikkan perkara positif.
Muhammad Mikhael dikenali kerana sering berkongsi video menunjukkan hubungan erat dengan ibunya M. Muniamah, 74, yang berlainan agama selepas memeluk Islam pada 2018 berkata, orang ramai sewajarnya menggunakan media sosial untuk kebaikan termasuk tujuan perniagaan dan tidak menjadikannya sebagai platform untuk berbalah. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!