AADK sedia perkhidmatan pemulihan kepada 90 peratus klien

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyediakan perkhidmatan Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK) kepada 90 peratus orang daripada jumlah keseluruhan klien.

AADK berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 15 peratus sahaja yang dimasukkan ke Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi (RPDI) setiap tahun.

Menurutnya, seramai 65,372 klien diberikan perkhidmatan dalam komuniti manakala hanya 9,517 orang menerima dalam institusi pada tahun lalu.

“Pada 2021 pula seramai 73,113 perkhidmatan dalam komuniti diberikan dan 7,133 dalam institusi manakala seramai 64,335 dalam komuniti serta 8,594 klien dalam institusi pada 2022.

“Perbezaan itu sebagai satu manifestasi pelaksanaan rawatan dan pemulihan yang berasaskan keperluan unik individu.

“Ia membuat penilaian dari segi penyalahgunaan dadah, sokongan ahli keluarga, pekerjaan, pendidikan dan sokongan sosial yang lain terhadap klien sebelum sesuatu syor dibuat oleh Pegawai Pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah AADK, perkhidmatan RPDK menyediakan sebanyak 42 Pusat Khidmat, termasuk Pusat Integrasi Masyarakat dan 108 Pejabat AADK Daerah yang dijenamakan semula.

Ujarnya, penjenamaan tersebut untuk meningkatkan akses rawatan dan pemulihan kepada seluruh klien dan ahli keluarga yang mempunyai permasalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga adalah sebagai satu komitmen kami untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam perkara 3 – Good Health and Well Being dalam Sustainable Development Goals.

“Malaysia turut melaporkan bilangan penagih dadah yang mendapat akses kepada rawatan dan pemulihan dadah dalam indikator,” tambahnya.

Selain itu, menurutnya, AADK melaksanakan satu tindakan berstruktur melibatkan komitmen komuniti melalui pelantikan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD).

Katanya lagi, kepakaran ahli JKPD yang pelbagai telah digemblengkan untuk menyokong kepulihan klien serta menggerakkan aktiviti rawatan dan pemulihan dadah di daerah.

“Satu pendekatan baharu diperkenalkan iaitu untuk melaksanakan ikrar bebas rasuah. Tujuannya untuk memastikan semua ahli JKPD mempunyai komitmen yang padu, meningkatkan integriti serta mencegah amalan rasuah ketika melaksanakan aktiviti di lapangan serta memastikan kebajikan klien diberi keutamaan,” ujarnya.

AADK memaklumkan pihaknya akan memastikan program RPDK yang berkesan dan berasaskan pembuktian di masa hadapan sekali gus melibatkan lebih ramai ahli komuniti yang berminat serta mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan rawatan dan pemulihan dadah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!