Paris 2024: Nur Aisyah pulih sepenuhnya dari kecederaan

Nur Aisyah sudah pulih sepenuhnya untuk beraksi di Olimpik Paris 2024 selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai pertandingan di Belgium pada 16 Jun lalu. Foto Bernama
Nur Aisyah sudah pulih sepenuhnya untuk beraksi di Olimpik Paris 2024 selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai pertandingan di Belgium pada 16 Jun lalu. Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir sudah pulih sepenuhnya untuk beraksi di Olimpik Paris 2024 selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai pertandingan di Belgium pada 16 Jun lalu.

Pengurus pasukan skuad berbasikal lebuh raya negara, Norazman Abu Samah berkata, Nur Aisyah mengalami kecederaan ringan di bahu dan tekak susulan kemalangan itu.

"Jurulatihnya Amir Mustafa Rusli telah memaklumkan kepada kami mengenai kemalangan itu.

"Kini beliau dah pulih sepenuhnya dan tengah jalani latihan, juga dah berlumba balik seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norazman turut memaklumkan basikal yang digunakan Nur Aisyah ketika menyertai pertandingan tersebut patah di beberapa bahagian.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana basikal yang rosak itu merupakan basikal gantian dan bukan basikal yang akan digunakan Nur Aisyah semasa Olimpik Paris 2024.

"Saya diberitahu basikal itu tak sempat dibaiki untuk Olimpik nanti. Tapi Alhamdulillah sebelum ini dia sudah dapat penaja untuk basikal baharu.

"Jadi kami bersyukur kerana jentera utamanya yang akan digunakan di Olimpik masih dalam keadaan baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu bakal mencipta sejarah sebagai pelumba berbasikal lebuh raya wanita Malaysia yang pertama untuk beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkannya slot ke Paris 2024. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!