Pekebun disamun 10 lelaki bertopeng, bersenjatakan pistol

Polis menjalankan siasatan di lokasi rompakan. Foto ihsan PDRM
Polis menjalankan siasatan di lokasi rompakan. Foto ihsan PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pemilik kebun berdepan detik cemas disamun kira-kira 10 lelaki bertopeng dan bersenjata pistol yang mendakwa sebagai polis, dalam kejadian samun, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian jam 2.50 pagi di sebuah rumah bangsal kebun di Kampung Lepan Anjung, Stong Dabong, di sini menyebabkan mangsa lelaki berusia 40 tahun kerugian RM80,000 selepas barangan berharga termasuk wang tunai RM 7,000 serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya dilarikan perompak.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, mangsa diacu parang di leher, digari tangan dan kakinya turut diikat.

Beliau berkata, semasa mangsa berada di sebuah rumah bangsal kebun tembikainya itu, secara tiba-tiba dia didatangi kumpulan lelaki yang menendang pintu dan menceroboh masuk bangsal terbabit.

“Kumpulan suspek terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan salah seorang daripada mereka memegang objek menyerupai pistol.

"Suspek turut mengacukan parang di leher mangsa sambil memaklumkan mangsa sudah melakukan kesalahan jenayah dan akan ditangkap.

“Tangan mangsa turut digari dan kaki diikat menggunakan tali. Selepas itu suspek mengambil barangan milik mangsa termasuk wang tunai RM7,000, telefon bimbit jenama Samsung, dua jam tangan berjenama Rado dan Toyota Hilux,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Menurut Mazlan, turut dilarikan oleh kumpulan perompak terbabit ialah sebuah mesin gergaji dan sebuah basikal elektrik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, akibat kejadian itu mangsa dianggarkan mengalami kerugian RM80,000.

Justeru katanya, mana-mana saksi yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh tampil memaklumkan kepada pihak polis.

“Saksi yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat di talian 011-24359850 atau boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!