Kerja menstabil, pembaikan kapal MV KUM JIN mula dilaksana - LPK

Sekumpulan jurutera bersama anak kapal MV KUM JIN telah menaiki semula kapal jenis kargo itu petang tadi bagi menstabilkan kembali kapal berkenaan serta menjalankan kerja-kerja pembaikan.
Sekumpulan jurutera bersama anak kapal MV KUM JIN telah menaiki semula kapal jenis kargo itu petang tadi bagi menstabilkan kembali kapal berkenaan serta menjalankan kerja-kerja pembaikan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekumpulan jurutera bersama anak kapal MV KUM JIN telah menaiki semula kapal jenis kargo itu petang tadi bagi menstabilkan kembali kapal berkenaan serta menjalankan kerja-kerja pembaikan.

Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dalam kenyataan memaklumkan dua kapal tambahan dihantar bagi membantu operasi pembaikan dan pemulihan serta bersedia jika berlaku sebarang kecemasan.

"Kapal-kapal di sekitar telah diberi amaran untuk menjauhi kapal yang sedang bermasalah sementara pihak berkuasa terus memantau kerja-kerja pembaikan dan memberikan bantuan jika diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, LPK mengesahkan kapal kargo itu masih kekal terapung berbeza dengan laporan sebelum ini yang menyebut bahawa kapal tersebut telah tenggelam.

Lembaga itu menjelaskan bahawa kapal MV KUM JIN, sebuah kapal kargo sepanjang 70 meter telah meninggalkan Pelabuhan Klang dengan muatan kargo keluli menuju ke Kuching pada jam 10 malam semalam.

"Sekitar jam 3 pagi tadi, kapal tersebut yang telah sampai di kawasan luar pelabuhan melaporkan bahawa ia mengalami masalah enjin dan dimasuki air sekali gus meminta kebenaran untuk berlabuh.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia segera bertindak balas terhadap panggilan bantuan itu dengan menghantar dua kapal bagi membantu kapal kargo berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sekitar jam 5 pagi, kapal tersebut dilaporkan tidak stabil akibat cuaca buruk dan berkemungkinan tenggelam dengan anak kapal telah dipindahkan dan dibawa ke darat oleh kapal peronda APMM. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!