Sudah tiba masa kerajaan, pembangkang lakukan gencatan politik

Gencatan politik perlu dilaksanakan supaya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah pembangunan negara dan bangsa. Gambar fail Bernama, gambar kecil: Sivamurugan
Gencatan politik perlu dilaksanakan supaya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah pembangunan negara dan bangsa. Gambar fail Bernama, gambar kecil: Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah sampai masanya Kerajaan Perpaduan mengambil langkah untuk berdamai dengan pembangkang ekoran daripada kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu.

Penganalisis politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, gencatan politik perlu dilaksanakan supaya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Ujarnya, kedua-dua pihak boleh melahirkan pendamaian politik melalui rundingan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Tambahnya, melalui langkah pendamaian tersebut, kerajaan boleh meneruskan usaha dari segi dasar serta polisi dengan tenang manakala pembangkang pula berupaya untuk memainkan peranan mereka sebagai fungsi semak dan imbang dalam pentadbiran secara rasional.

“Dalam konteks ini barangkali beberapa perkara boleh dipersetujui dengan menandatangani memorandum persefahaman politik dengan menyenaraikan beberapa perkara yang boleh dipersetujui supaya ia tidak mengganggu perjalanan atau apa sahaja yang dilakukan kerajaan.

“Pembangkang pun boleh mendapatkan apa sahaja yang diperlukan tetapi dirunding melalui perbincangan atau musyawarah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu lalu, Abidin Ismail berjaya mengekalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Sungai Bakap dengan majoriti lebih besar.

Ekoran itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menyifatkan kemenangan itu merupakan memorandum rakyat yang dihantar secara jelas kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan pada Ahad pula menerima suara rakyat.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Sivamurugan berkata, amalan terlalu berpolitik secara berterusan tidak sihat untuk negara sekali gus menjejaskan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan parti.

“Ini sudah tahun kedua, berdamailah supaya tidak ada politiking berterusan sehingga pembunuhan karakter dilakukan, menghakis keyakinan dan sokongan, kerana politik bukan segalanya.

“Lebih penting memberikan tumpuan dan usaha merakyatkan kepimpinan dan menunggu sehingga pilihan raya umum nanti, mandat itu boleh diputuskan berdasarkan kematangan rakyat untuk menilai apa yang berlaku dalam persekitaran politik,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!