HRD Corp perlu tingkat peranan audit dalaman - MEF

Garis panduan yang lebih ketat mengenai pelaburan HRD Corp perlu diperkenalkan. Gambar kecil: Syed Hussain
Garis panduan yang lebih ketat mengenai pelaburan HRD Corp perlu diperkenalkan. Gambar kecil: Syed Hussain
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan supaya Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) meningkatkan peranan audit dalamannya sebagai mekanisme untuk semak dan imbang tindakan pihak pengurusan bagi memastikan ia tidak tersasar daripada matlamat asal.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah itu perlu bagi mengelak berulangnya tindakan yang tidak teratur seperti didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada masa akan datang.

“HRD Corp hendaklah terus beristiqamah dan memperbaharui matlamat penubuhannya iaitu untuk mengutip levi pembangunan sumber manusia dan menggalakkan latihan serta pembangunan kemahiran pekerja.

“HRD Corp juga diharap dapat menerima baik laporan PAC dan berusaha untuk memperbaiki mana-mana kelemahan yang dinyatakan agar dapat terus berdaya saing seperti mana asas-asas penubuhannya.

“Paling penting buat masa ini ialah pihak pengurusan HRD Corp mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan pelaburan yang dibuat tidak rugi.

“Panel pelaburan yang dianggotai pelbagai ahli semestinya mempunyai justifikasi yang kukuh berkenaan segala pelaburan yang telah dan akan dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai pendedahan PAC bahawa sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Mengulas lanjut, Syed Hussain turut mencadangkan agar satu garis panduan yang lebih ketat mengenai pelaburan HRD Corp diperkenalkan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kewujudan garis panduan itu perlu sesuai dengan keperluan semasa dan melantik ahli-ahli profesional yang kompeten di dalam hal pelaburan untuk menganggotai jawatankuasa pelaburan.

“Secara umumnya, HRD Corp telah melakukan perubahan besar untuk meningkatkan tadbir urus korporat bagi memastikan pengurusan kewangan dilakukan berlandaskan prinsip-prinsip tata kelola yang berkaitan.

“Pembaharuan tata kelola kewangan termasuklah mewujudkan akaun inisiatif strategik yang berasingan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan,” katanya.

Syed Hussain turut mengakui HRD Corp telah memainkan peranan positif dalam memperkukuhkan latihan dalam kemahiran kepada pelbagai kategori pekerja di negara ini termasuk orang kurang upaya (OKU), sejak ia ditubuhkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!