Trend 'childfree' merugikan, cetus krisis

Konsep 'childfree' yang membawa maksud perkahwinan tanpa kelahiran zuriat nampaknya semakin diterima ramai khususnya pasangan muda.
Konsep 'childfree' yang membawa maksud perkahwinan tanpa kelahiran zuriat nampaknya semakin diterima ramai khususnya pasangan muda.
A
A
A

KONSEP 'childfree' yang membawa maksud perkahwinan tanpa kelahiran zuriat nampaknya semakin diterima ramai khususnya pasangan muda.

Ia dipilih atas pelbagai alasan termasuk ekonomi, emosi, tidak bersedia memikul tanggungjawab menjaga dan mendidik, mementingkan pembangunan diri dan kerjaya serta demi kebebasan hidup tanpa komitmen.

'Childfree' bukan baharu. Ia terdahulu menjadi norma di Eropah pada awal 1500-an.

Seiring dengan gelombang kesedaran pencapaian diri yang berkembang, wanita memilih untuk berkerjaya daripada berkahwin muda yang menjadi kebiasaan ketika itu.

Jika memutuskan untuk berkahwin sekali pun, mereka memilih untuk tidak berketurunan. Trend ini berterusan untuk tempoh lama dan kini kembali tular dan popular.

Rachel Chrastil dalam bukunya How to Be Childless: A History and Philosophy of Life Without Children menyatakan gaya hidup itu meletus di Barat seawal tahun 1970-an.

Salah satu punca utamanya ialah pengeluaran pil pencegah kehamilan yang membolehkan wanita tidak bimbang akan hamil melakukan hubungan intim.

Fitrah asal kaum Hawa sebagai isteri dan ibu yang melahirkan serta mendidik anak berubah susulan peningkatan ekonomi dan sektor perindustrian yang memerlukan wanita dalam dunia pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Ini memaksa mereka untuk memilih antara karier atau ‘menjawat’ gelaran bonda.

Buktinya, baru-baru ini tular pengakuan terbuka pasangan muda Malaysia di laman sosial yang memilih cara hidup 'childfree' dalam perkahwinan.

Mengemukakan alasan ingin menumpukan kerjaya dan menganggap kelahiran anak membebankan dengan komitmen kewangan serta tugas mendidik, mereka juga mementingkan masa dan privasi.

Bahkan, untuk jangka masa panjang, golongan itu sudah tekad menyediakan pelan masa hadapan untuk tinggal di rumah penjagaan orang-orang tua apabila mencapai usia emas. Dengan jumlah kelahiran di Malaysia juga semakin menurun, childfree jika berterusan pasti membawa petaka.

Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan kadar kesuburan wanita pada 2022 mencatatkan penurunan iaitu 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun berbanding 1.7 anak pada 2021 dan merupakan yang terendah sejak lima dekad lalu dengan 4.9 anak bagi setiap perempuan pada 1970!

Statistik kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pula menunjukkan pertambahan ketara bagi pasangan berumur antara 15 hingga 49 tahun tidak mempunyai anak bagi tempoh 2014 hingga 2016.

Trend ini berpotensi mengakibatkan krisis demografi iaitu penyusutan pertumbuhan penduduk, penuaan penduduk, kesan terhadap ekonomi dan sosial.

Majlis Keselamatan Negara juga menyentuh konsep 'childfree' mampu menggugat ketidakseimbangan itu. Ujarnya, jika satu etnik atau kumpulan masyarakat menggunakan konsep itu dengan bersungguh-sungguh, etnik berkenaan akan menghadapi masalah survival dan ketinggalan dalam masyarakat susulan populasinya yang menurun pada masa hadapan.

Ia secara langsung boleh menyebabkan ketegangan antara kumpulan etnik atau kelas sosial berbeza yang akhirnya membawa kepada konflik dan krisis di dalam negara.

Trend 'childless' ini juga bertentangan dengan Islam. Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, pernikahan yang tidak mahukan anak bukan seruan Islam dan kufur nikmat kerana tidak yakin dengan pemberian rezeki daripada ALLAH SWT.

Ustazah Asma' Harun pula berpendapat gaya hidup 'childfree' bertentangan dengan prinsip-prinsip syariat Islam dan tidak wajar dipromosikan.

Sebagai anggota masyarakat bertindaklah segera. Jika ada orang dikenali cenderung memilih kehidupan berkonsepkan ini, nasihati dan terangkan impak buruknya.

Malaysia kini menuju ke arah negara tua menjelang 2043. Andai 'childless' terus diadaptasi dan kadar kelahiran terus menurun, orang muda mungkin akan mengalami masalah untuk menggerakkan ekonomi dan industri.

Kadar kelahiran yang menurun juga akan menyebabkan ketidakseimbangan untuk menampung masyarakat menua pada masa hadapan. Ayuh cegah sebelum parah!

*Azma Mohd Lazim ialah wartawan digital SinarPlus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!