‘Pilot darat‘ buat hal lagi!
“Umur aku panjang, kalau tak, kau mungkin dengar berita aku dekat hospital atau dah nak kena ‘simpan’,” katanya memulakan perbualan, membuatkan Merak Jalanan berhenti menatap skrin komputer.
Rupa-rupanya sahabat Merak Jalanan ini baru sahaja ditimpa musibah yang hampir meragut nyawanya.
Serpihan bongkah kayu daripada jentera berat yang dibawa melebihi had laju telah terpelanting lalu terkena cermin hadapan keretanya sehingga retak ketika melalui Lebuh Raya Elite.
Terkejut dengan kejadian tidak terduga itu, dia juga nyaris melanggar kenderaan lain.
Ini bukanlah kali pertama Merak Jalanan mendengar kisahnya sepanjang lebih tiga tahun melalui lebuh raya itu terutama ketika pulang bekerja pada waktu malam.
Cuma kali ini, dia sendiri yang hampir menjadi mangsa kecelakaan yang mungkin meragut nyawanya.
Meskipun pada waktu siang, masih ramai pemandu jentera berat ini tidak menghiraukan had laju ditetapkan sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Kerap menyaksikan sikap tidak bertanggungjawab ‘pilot darat’ ini, tidak hairanlah meluap-luap marah rakan Merak Jalanan ini. Apatah lagi kali ini terkena batang hidungnya sendiri.
Pelekat had laju 80-90 kmj yang diletakkan pada kenderaan berat ini sepatutnya dicabut sahaja sebab memang tidak ada yang ikut! Itu semua wayang dan aksesori semata-mata!
Lebuh raya adalah kemudahan yang dikongsi bersama. Bertimbang rasalah kepada pengguna jalan raya lain. Jangan kerana sikap pentingkan diri, nyawa orang lain jadi korban. Negara kita ada undang-undang dan peraturan.
Jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab setiap kali tangan kita memutar stereng dan menekan pedal minyak. Kalau polis tak ada, ALLAH ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!