Tangani kewujudan akaun palsu

Gambar hiasan 123rf. Gambar kecil: Choong Fook
Gambar hiasan 123rf. Gambar kecil: Choong Fook
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan undang-undang berkaitan siber di negara ini mempunyai mekanisme jelas dalam menangani kewujudan akaun palsu.

Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berkata, antara aspek yang perlu diberikan perhatian adalah keperluan pengesahan identiti pengguna semasa pendaftaran akaun dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan serta menghapuskan akaun palsu secara proaktif.

Selain itu katanya, pengendali platform juga perlu diwajibkan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memberikan maklumat yang diperlukan untuk menyiasat dan mendakwa pelaku buli siber.

“Hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap mereka yang menggunakan akaun palsu untuk tujuan buli siber atau menyebarkan kebencian bagi memberi kesan pencegahan lebih efektif.

“Undang-undang sedia ada mungkin belum mencukupi untuk membendung masalah buli siber secara keseluruhan. Walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan seperti Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Perlindungan Data Peribadi, namun masih terdapat kelemahan dalam penguatkuasaan dan ketegasan terhadap pelaku buli siber.

“Justeru, pindaan dan penambahbaikan kepada undang-undang sedia ada perlu dilakukan untuk menangani cabaran baharu yang timbul dengan perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Muka depan Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memaklumkan isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pembentangan itu diminta sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia juga akan menyentuh laporan berhubung insiden melibatkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.

Choong Fook yang juga Pengerusi Eksekutif LGMS Bhd, sebuah syarikat perunding keselamatan siber berkata, Malaysia perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang yang lebih spesifik bagi mengawal selia pengendali platform media sosial.

Ujar beliau, undang-undang itu juga harus mewajibkan pengendali platform memantau dan menyaring kandungan yang menjurus kepada pembulian siber.

“Mereka juga perlu bertanggungjawab dalam mengambil tindakan segera terhadap laporan buli siber, termasuk menghapuskan kandungan berbahaya dan kenakan sekatan terhadap akaun terlibat.

“Ini akan memastikan platform media sosial lebih selamat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!