Contohi keperibadian Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

PERKONGSIAN pegawai juruiring Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menyifatkan Seri Paduka seorang yang amat menitikberatkan soal ketepatan masa, harus dijadikan tauladan yang baik.

Menceritakan keperibadian Seri Paduka yang tidak pernah lewat untuk menghadiri apa jua majlis, Sultan Ibrahim ujar beliau, tidak suka membiarkan rakyat ternanti-nanti dan mudah berasa kasihan.

Sudah semestinya sifat terpuji Ketua Utama Negara ini bukanlah diperdengarkan hanya sebagai penyedap halwa telinga semata-mata.

Menepati masa adalah aspek yang sangat penting dalam kehidupan seharian seseorang tanpa mengira latar belakang individu tersebut.

Jika seseorang dengan gelaran tertinggi begitu mementingkan nilai masa orang lain, siapa pula kita untuk tidak menepatinya, bukan?

Seseorang yang menepati masa mencerminkan disiplin dan komitmen dalam memikul beban amanah yang tergalas di bahu.

Mengambil contoh teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penjawat awam supaya mengubah cara kerja lama bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kelulusan projek baharu bagi memacu pembangunan, ia suatu peringatan yang sangat tepat.

Perkara pokok dalam peringatan Perdana Menteri ini juga berkait dengan masa. Sifir mudahnya, apabila seseorang penjawat awam menepati masa, ia bukan sahaja meningkatkan produktiviti tetapi juga mengurangkan pembaziran masa dan sumber.

Artikel Berkaitan:

Ketepatan masa dalam memulakan tugasan harian dan tidak bersidai di kafe ketika waktu kerja sudah bermula misalnya, dapat membantu penjawat awam lebih fokus dan dapat menyegerakan tugasan yang perlu dilakukan seterusnya mengelakkan kelewatan.

Isu seperti ini kerap dikaitkan dengan kaunter pejabat kerajaan. Walaupun ia mungkin kes terpencil yang sudah diselesaikan, namun inilah antara natijah jika tidak menepati masa.

Akibat nila setitik, maka rosaklah sudah susu sebelanga! Gara-gara satu dua kaunter yang lambat dibuka, habis semua kaunter pejabat kerajaan dilabel sama.

Menepati masa bukan hanya menunjukkan kita efisien menjalankan tugas, malah memberi imej positif kepada organisasi dan membina kepercayaan masyarakat.

Jadilah penjawat awam yang memudahkan urusan masyarakat, cekap dan profesional dengan menghargai masa orang lain juga!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!