Warga emas tempuh perjalanan 500 kilometer untuk jual bakul
KUALA LUMPUR - Ketika usia sudah melebihi 70 tahun, Mat Isa tetap gigih menghayun langkah dari satu lokasi ke satu lokasi untuk menjual barangan kraftangan hasil anyaman sendiri.
Warga emas itu ketika ditemui di Taman Melati di sini menjelaskan, jualan pelbagai hasil kraftangan itu merupakan mata pencarian utama untuk menyara keluarganya yang berada di kampung.
Mat atau lebih mesra dengan panggilan Pak Mat berkata, dia menempuh perjalanan lebih 500 kilometer dengan menaiki kenderaan dari Songkhla, Thailand sebelum tiba di Kuala Lumpur.
"Saya jual pelbagai jenis bakul (anyaman) dan semua ini saya buat sendiri, ada RM10, RM20 dan ada macam-macam saiz. Saya datang dari jauh, dari Songhkla (Thailand).
"Kalau nak beli, datang sahaja ke kawasan sekitar Taman Melati dan kawasan pasar raya sekitar sini sebab saya selalu mencari rezeki di kawasan ini," ujarnya ketika ditemui pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai hasil pendapatan, jelasnya, pendapatan diperoleh tidak banyak namun cukup untuk kegunaannya ketika berada di ibu negara dan selebihnya akan dibawa pulang ke kampung.
Dalam pada itu, Mat turut mengakui usianya sudah lanjut, namun dia perlu terus mencari rezeki walaupun dengan berjalan kaki dari satu lokasi ke lokasi lain sepanjang berada di ibu negara.
"Saya berserah sepenuhnya kepada ALLAH, insya-ALLAH ada rezeki kalau kita berusaha, semua hasil pendapatan juga sudah ditetapkan olehNya, harap saya dapat rezeki yang halal," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!