'Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata?'

Seorang pempengaruh maut akibat tertekan apabila dibuli oleh pengguna media sosial.
Seorang pempengaruh maut akibat tertekan apabila dibuli oleh pengguna media sosial.
A
A
A

INDIVIDU yang terlibat dengan kes buli tidak kira dalam talian mahupun mendera mental mangsa secara bersemuka tetap akan mendatangkan kesan yang luar biasa.

Sekiranya pembuatan pelaku itu sangat melampau, mangsa akan mengalami trauma yang luar biasa kerana tidak tahan diperkatakan perkara negatif.

Jumaat lalu, seorang pempengaruh maut akibat tertekan apabila dibuli oleh pengguna media sosial platform TikTok sejak sebulan lalu dan mayatnya ditemui di rumah kira-kira jam 11 pagi.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian daripada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang berkata, isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan.

Lebih menyedihkan apabila jumlah kes buli siber terutama melibatkan golongan remaja di negara ini dilaporkan semakin meningkat saban tahun.

Pada tahun 2021, hanya 326 kes direkodkan, namun meningkat kepada 3,887 kes pada 2022.

Angka tersebut terus naik kepada 4,994 kes antara Januari dan Oktober 2023.

Komen-komen negatif yang ditujukan kepada mangsa untuk mengecam wajah atau badannya berkemungkinan boleh dipadam, namun kesan yang dialaminya tidak boleh disembuhkan dengan kata-kata maaf.

Artikel Berkaitan:

Terlajak perahu boleh diundur tetapi apabila sudah terlepas kata-kata negatif, pelaku hanya boleh menerima tindakan yang dilakukan sekiranya mangsa benar-benar terkilan.

Bagaimanapun, mana-mana pihak yang terlibat atau bersubahat menyebabkan tekanan kepada mangsa buli sehingga mangsa membunuh diri, mereka boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 305 dan 306 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Adakah kemalangan membunuh diri disebabkan buli siber itu hanya boleh dilihat tanpa sebarang penyelesaian yang efektif?

Jadi, pihak kerajaan perlu cakna dan periksa pihak atau kumpulan yang sering menyatakan atau mengeluarkan perkataan yang negatif terhadap pengguna media sosial yang lain.

Orang ramai turut digesa untuk tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu ketenteraman jiwa serta emosi individu lain agar tidak berlaku tindakan membunuh diri disebabkan tekanan yang melampau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!